Pasukan boling UM
Pasukan boling UM

Kontinjen boling UiTM dan UM membanggakan

Rasyidah Zulkifi
20 Sep 2022 03:01pm
A
A
A

Kewujudan pasukan boling di institusi pengajian tinggi (IPT) dapat dibuktikan melalui penglibatan atlet-atlet dalam Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).

Penubuhan kontinjen ini bukan sahaja bertujuan memajukan sukan dalam kalangan penuntut di menara gading, malah ia dilihat dapat melahirkan mahasiswa yang berdaya saing dan holistik.

Menurut Jurulatih, Pasukan Staf dan Pelajar Tenpin Boling, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Malaysia, Razif Sazali, 29, asal penubuhan pasukan boling UiTM sejak 1995 adalah untuk menyertai pelbagai kejohanan di peringkat IPT.

“Selaras dengan Pelan Strategik UiTM (GRU2025), institusi ini sentiasa berusaha melahirkan para pelajar serba boleh.

“Malah, terdapat satu tradisi yang wujud di dalam pasukan boling UiTM di mana ia mementingkan keputusan akademik atlet-atletnya.

“Mereka hendaklah mencapai Purata Nilai Gred 3.00 yang paling minimum sebagai salah satu kriteria untuk terus mewakili pasukan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Sambungnya, sekiranya mahasiswa tidak mencapai kriteria ditetapkan, mereka akan direhatkan sementara waktu daripada menyertai kejohanan.

”Saban tahun pasukan boling UiTM mengorak langkah dengan mencipta kejayaan dalam pelbagai kejohanan seperti MASUM, Kejohanan Terbuka Malaysia, Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) dan ASIAN University Bowling Championship.

”Mengimbau kembali momen-momen manis adalah ketika pasukan UiTM memenangi tiga pingat emas di SUKIPT 2016.

“Tambah manis, kesemua atlet berjaya pulang dengan membawa sebutir pingat emas dalam acara masing-masing,” ujarnya.

Penglibatan di peringkat antarabangsa

Selain menyertai acara dalaman, kontinjen boling UiTM juga pernah menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.

Antaranya Thailand, Singapura dan juga Indonesia di mana penglibatan atlet-atlet universiti ini disokong melalui bajet Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM.

Selaku jurulatih, bukan mudah bagi Razif untuk mengekalkan momentum pencapaian kontinjen boling universiti dari semasa ke semasa.

Ini kerana seseorang atlet kebiasaannya hanya akan bertahan antara tiga hingga lima tahun sahaja dalam kampus bergantung kepada mod pengajian setiap kursus yang diambil.

“Oleh itu, pengurusan pasukan boling universiti sentiasa peka dalam mencari bakat-bakat baharu yang mempunyai potensi tinggi.

“Kami juga meningkatkan usaha untuk merekrut lebih ramai ahli sukan boling UiTM untuk mewujudkan satu pasukan tetap seperti pasukan bola sepak UiTM FC,” ujarnya yang bercadang untuk membina pusat boling sendiri pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Boling Universiti Malaya (UM), Ahmad Shaharudin Mohamad Mokhtar, 55, berkata, sejarah penubuhan kontinjen bermula pada 2003 sewaktu universiti berkenaan ingin menyertai Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia (SUKUM).

Pasukan boling UM.

“Namun begitu, Kelab Boling Asasi UM telah diwujudkan terlebih dahulu pada 2000 untuk Staf Pusat Asasi Sains.

“Pada 2003, ia dibuka kepada staf-staf jabatan lain di UM yang berminat dan disebabkan kerap menganjurkan pertandingan, warga kampus dilihat semakin meminati sukan ini.

“Sepanjang 19 tahun dalam kontinjen boling universiti, saya dibantu oleh mantan jurulatih, Ahmad Radzi Abu yang merupakan bekas atlet, namun beliau telah pencen awal bulan lalu,” ujarnya.

Tambah Ahmad Shaharudin, untuk memajukan pasukan boling itu, beliau sentiasa bekerjasama dengan Bahagian Kemudahan dan Perkhidmatan Sukan UM.

Jelasnya, kolaborasi itu membantu pihaknya dalam mengadakan kejohanan di peringkat jabatan dan fakulti di UM, pada masa sama dapat memupuk penglibatan staf serta mahasiswa dalam sukan boling.

Tuturnya lagi, dalam usaha mengekalkan momentum pasukan yang hebat, setiap tahun pihaknya akan mengadakan pencarian bakat baharu dan hanya atlet terbaik sahaja terpilih.

Beliau berharap pasukannya dapat membawa pulang pingat emas pada Kejohanan SUKUM yang akan berlangsung bulan ini.

*

INFO

Senarai kejayaan pasukan UiTM

-52 pingat emas dan 10 kali juara keseluruhan dalam UiTM International Sports Fiesta 2006 hingga 2019

-8 pingat emas dalam SUKIPT sejak dari 2012

-5 Pingat Emas dan Juara Keseluruhan dalam Kejohanan Tenpin Bowling IPT 2015

-3 Pingat Emas dalam Sukan Universiti ASEAN 2010, Chiang Mai, Thailand

-4 pingat emas dalam Sukan Universiti ASEAN 2008, Kuala Lumpur, Malaysia

-6 Pingat Emas dan Juara Keseluruhan dalam Asian University Bowling Championship 2007

-1 emas dan 1 perak dalam Sukan Arafura (2001 dan 2005)

-50 pingat emas dalam MASUM

-15 pingat emas dalam Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA)

Senarai kejayaan pasukan UM

-Pencapaian MASUM (Pelajar) 2017: ( 3 pingat emas, 4 pingat perak, 1 pingat gangsa )

-Pingat emas acara perseorangan melalui Nora Lyana Nastasia Nor Kamal

-Pingat emas acara all event melalui Nora Lyana Nastasia Nor Kamal

-Pingat emas acara berpasukan lelaki

-Pingat perak acara berpasukan wanita

-Pingat perak acara beregu lelaki

-Pingat perak acara master wanita

-Pingat perak acara master lelaki

Artikel berkaitan 

Pencapaian SK Nanga Pakan dalam aliran agama membanggakan! 

Baru 30-an, sumbangan Cikgu Tarmizi dalam bola sepak SK Bukit Mutiara membanggakan! 

Bantu ibu berniaga sewaktu balik sekolah, pelajar ini tetap peroleh keputusan SPM yang membanggakan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok