Pasukan Wonder
Pasukan Wonder

Kumpulan penyelidik raih 4 pingat di MRC - IIE 2022

Roshlawaty Md Raieh
28 Oct 2022 04:27pm
A
A
A

Para penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menunjukkan pencapaian membanggakan apabila merangkul empat pingat dalam Malaysian Road Conference Invention & Innovation (MRC-IIE) 2022, baru-baru ini.

Pingat-pingat tersebut diperoleh menerusi beberapa inovasi yang dihasilkan oleh penyelidik hebat dari universiti berkenaan.

Dua pingat emas dimenangi menerusi inovasi Recycled Plastic Compressed Paver Block dan inovasi An Innovative Production Method of Interlocking Compressed Earth Brick System for Green Building Construction.

Manakala dua lagi pingat iaitu perak dan gangsa dimenangi Eco-Friendly Paver Block: Development of Concrete Eco-Paving Blocks using Crumb Rubber Granules and Eco-Processed Pazzolan dan inovasi Rubberised Sandstone Aggregate for Road Construction.

Sementara itu, penghasilan setiap inovasi telah dicipta oleh kumpulan penyelidik masing-masing.

Bagi inovasi Recycled Plastic Compressed Paver Block dan Rubberised Sandstone Aggregate for Road Construction, ia dihasilkan kumpulan penyelidik yang diketuai Ts Dr Lillian Gungat.

Kemudian, inovasi An Innovative Production Method of Interlocking Compressed Earth Brick System for Green Building Construction dicipta kumpulan penyelidik diketuai Profesor Ir Dr Abdul Karim Mirasa.

Inovasi Eco-Friendly Paver Block: Development of Concrete Eco-Paving Blocks using Crumb Rubber Granules and Eco-Processed Pazzolan pula dihasilkan kumpulan penyelidik yang diketuai Ir Ts Dr Habib Musa Mohamad.

Kesemua penyertaan penyelidik di MRC - IIE 2022 dikendalikan Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP), UMS.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penyelidik yang meraih kejayaan dalam pertandingan berkenaan.

Beliau berharap, kemenangan tersebut mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan diri, universiti dan negara pada masa akan datang.

Terap budaya kerja yang selamat

Dalam perkembangan lain, Kasim memaklumkan budaya kerja yang selamat dan sihat perlu diterapkan bagi mengelak sebarang kemalangan di tempat kerja.

Ujarnya, perkara tersebut sangat penting untuk mencegah kemalangan di kawasan itu.

“Bagi mengelakkan ia berlaku, program-program berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu dijadikan sebagai salah satu program tahunan sesebuah organisasi.

“Pada masa yang sama ia menyemai semangat berpasukan dalam kalangan pekerja dan menjamin keselamatan serta kesihatan di tempat kerja,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Penarafan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kolej Kediaman UMS, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr Raman Noordin; Pengarah Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP), Profesor Dr Khamisah Awang Lukman; Pengarah Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF), Hasmi Hashim dan Pengetua-Pengetua Kolej Kediaman UMS.

Program yang julung kalinya diadakan itu merupakan anjuran Pusat PNRF dan PKKP UMS.

Menyentuh mengenai penganjuran program tersebut, Kasim berkata, ia antara lain bertujuan menggalakkan penglibatan setiap warga universiti dalam aktiviti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) sekali gus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam KKP.

“Dalam masa sama, ia bagi menerapkan amalan pengurusan KKP yang cekap berteraskan pengurusan risiko yang berkesan bagi merealisasikan pembudayaan kerja selamat dan sihat di UMS.

“Untuk makluman, penarafan ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk menjadikan kolej kediaman sebagai tempat yang selamat dan sihat, selaras dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UMS.

“Anugerah ini juga bertepatan dengan falsafah kolej kediaman yang memelihara kesejahteraan dan keharmonian warganya," ujarnya.

Artikel berkaitan

Inovasi e-Waze rangkul 3 anugerah di iCAN 2022

Penyelidik UPM guna teknologi retort bagi inovasi sos labu

Inovasi ciptaan 10 pelajar jadi pilihan juri, ini pesanan guru pembimbing kepada mereka


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok