Untitled design (67)
Untitled design (67)

Kurangkan beban guru, beri peluang pelajar uruskan aktiviti sekolah

Azleenda Sahaludin
06 Jan 2023 04:05pm
A
A
A

Isu guru dibebani dengan tugas sering diperkatakan pelbagai pihak dan perkara ini mendapat tumpuan lebih-lebih lagi ia menjadi antara topik perbualan hangat di media-media sosial.

Isu ini penting dan dipandang serius serta ia harus segera ditangani kerana beban tugas guru berkait rapat dengan signifikan keberkesanan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Walaupun hakikatnya tugas utama seorang guru adalah untuk mendidik dan mengajar namun kebelakangan ini mereka juga menggalas tugas dalam pengurusan dan perkeranian.

Ini dilihat satu beban buat guru yang perlu mengelola sepenuhnya aktiviti-aktiviti di sekolah seperti kokurikulum dan pelajar hanya hadir sebagai peserta atau tetamu.

Profesor Dr Ahmad Zamzuri.

Menurut Pensyarah Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Ahmad Zamzuri Mohamad Ali, pelajar yang gagal memanfaatkan kebaikan mengurus aktiviti berkenaan tidak dapat sebarang nilai tambah daripada aspek kemahiran insaniah.

Katanya, kekurangan penglibatan pelajar inilah yang mendorong kepada peningkatan tugas perkeranian dalam kalangan guru.

“Setiap tahun sekolah akan menganjurkan pelbagai aktiviti kokurikulum seperti Hari Koperasi, Hari Sukan dan Olahraga, Perkhemahan dan sebagainya.

“Kesemua aktiviti ini tidak berjalan sekiranya tiada campur tangan daripada guru.

“Sedangkan sekiranya ia diberi peluang kepada pelajar untuk mengendalikan dan guru berfungsi sebagai pembimbing atau pemudah cara ia secara tidak langsung dapat mengurangkan beban tugas yang ditanggung guru,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ahmad Zamzuri, pelajar akan memperoleh pengalaman yang berguna dari sudut membina keyakinan dan kemampuan diri dalam mengendalikan sesuatu aktiviti bermula daripada zaman persekolahan.

Malah, jika dilihat di institusi pengajian tinggi (IPT), kesemua aktiviti di luar dewan kuliah dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar.

Oleh itu, pendedahan dan peluang perlu diberi kepada pelajar seawal daripada peringkat sekolah supaya dapat membiasakan diri dengan kerja berpasukan, komunikasi, penyelesaian masalah dan pengurusan masa.

Ahmad Zamzuri memberitahu, meskipun akan terdapat kelemahan dan kekurangan pelajar yang menguruskan aktiviti sekolah, namun guru, ibu bapa dan masyarakat hendaklah terus memberi semangat kepada mereka dan memberi bimbingan yang sewajarnya.

Jelasnya lagi, Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu memikirkan kaedah untuk menggalakkan penglibatan pelajar sebagai pengurus dan mengendalikan aktiviti sekolah.

Sebagai contoh, memberi anugerah kepada sekolah yang berjaya melibatkan pelajar dalam pengelolaan aktiviti atau program sekolah terutamanya dalam kalangan sekolah harian biasa.

Artikel berkaitan

Maszlee umum 7 inisiatif kurang beban guru dalam ucapan Hari Guru pagi tadi

SMK Tun Syed Zahiruddin, budayakan amalan guru penyayang, lahir pelajar cemerlang

Cara Cikgu Nor Amin tangani stres, sangat berbaloi jika guru-guru dapat tiru apa yang beliau buat!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok