Little Free Library pupuk budaya membaca di lima stesen KTM sekitar Perak

nadzarul.amir
16 Nov 2022 05:03pm
A
A
A

Ambil, kongsi buku dan boleh diakses pada bila-bila masa merupakan pendekatan digunakan Little Free Library di lima buah stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) sekitar negeri Perak.

Melalui projek perintis Little Free Library, sesiapa sahaja boleh meminjam bahan bacaan tanpa mendaftar sebagai ahli dan tidak perlu membayar denda apabila lewat memulangkan buku-buku.

Dalam merealisasikan projek berkenaan Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjalin kerjasama dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

Timbalan Naib Canselornya (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Marzita Puteh berkata, lima buah stesen kereta api yang akan menjadi projek perintis Little Free Library adalah di Tanjong Malim, Kampar, Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping.

“Idea mewujudkan Little Free Library tercetus apabila UPSI mendapati tiada institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri Perak yang mengetengahkan konsep sedemikian dalam memperkasa budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

“Binaan Little Free Library UPSI seakan-akan rak buku tetapi kecil dan comel malah mampu menempatkan lebih kurang 30 buah buku,” katanya ketika berucap pada majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di Perpustakaan Digital UPSI Kampus Sultan Azlan Shah, Muallim, Perak baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Orang Besar Jajahan Muallim, Toh Paduka Setia Datuk Dr Safry Kamal Ahmad.

Ia turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UPSI, Profesor Dr Norkhalid Salimin, Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Adam Abu Hanipah, Ketua Pustakawan, Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI, Noriha Muhammad dan Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman.

Marzita Puteh memberitahu, UPSI merupakan sebahagian daripada projek komuniti antarabangsa, littlefreelibrary.org yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Katanya, organisasi tidak berasaskan keuntungan itu mengamalkan konsep berkongsi bahan bacaan melalui binaan struktur rak pondok diletakkan di kawasan tumpuan awam.

Sementara itu, Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad berkata, binaan setinggi kira-kira 100 sentimeter itu turut menampilkan karya istimewa daerah Muallim seperti kuih pau di Tanjong Malim dan kata-kata mutiara legenda filem Allahyarham Mamat Khalid.

“Sehingga kini, Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI telah menerima sebanyak 610 naskhah buku-buku khusus untuk Little Free Library.

“Selepas kejayaan projek perintis di lima stesen KTM utama negeri Perak, UPSI akan meluaskan konsep Little Free Library ini di stesen-stesen KTM terpilih di kawasan Pantai Timur,” ujarnya.

Pada masa akan datang, beliau menambah, UPSI bercadang memperkenalkan konsep sama di komuniti kebun bandar di Lembah Klang.

Artikel berkaitan

Impian ratu kayak ke UPSI akhirnya termakbul!

Rekod MBOR, UPSI bina struktur terumbu glob terbesar di dasar laut

UPSI, The World Bank Group bekerjasama laksana penyelidikan asuhan dan didikan kanak-kanak


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok