ums-astif-(2)
ums-astif-(2)

MAHAKARYA ASTiF ketengahkan keunikan seni Borneo pelajar UMS

Adlan Farhan Azwan
07 Jul 2022 12:40pm
A
A
A

Sebanyak 500 karya berteraskan kesenian Borneo dipamerkan pelajar tahun tiga Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam program MAHAKARYA 2022 yang diadakan di Dewan Resital ASTiF, baru-baru ini.

Program yang berlangsung bermula 12 Jun sehingga 1 Julai lalu menghimpunkan pelbagai bidang seperti seni suara, tari, lakon, muzik dan lukis serta catan, animasi, penulisan, penerbitan, filem dan video.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, persembahan yang berkualiti bukan sahaja memerlukan pemikiran yang kreatif, tetapi ia turut melibatkan pengorbanan dari segi masa, tenaga, wang ringgit, dan persefahaman yang jitu.

“Saya percaya, terdapat banyak bakat seni dan kreativiti dalam kalangan pelajar yang sebelum ini kurang ditonjolkan kerana kekurangan medan atau pentas sesuai.

“Saya kira, penganjuran projek akhir ini bersifat serampang dua mata, iaitu menghasilkan kerja-kerja seni menarik dan unik yang kemudiannya dipersembahkan kepada khalayak atau audiens untuk dinikmati,” katanya ketika berucap pada program tersebut.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan ASTiF, Profesor Madya Dr Zairul Anwar Md Dawam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr Rasid Mail; Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu, Rafael Walangitan dan Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kota Kinabalu, Zulkefli Mohd.

Abdul Rahman turut menaruh keyakinan usaha yang dilaksanakan ASTiF seiring dengan hasrat kerajaan dalam mengekalkan dan melestarikan seni budaya sekali gus memastikan karya seni yang dihasilkan pelajar universiti dapat dilihat dan dinikmati masyarakat umum.

“Harapan saya agar bakat pelajar UMS yang dicungkil dan digilap di sini dapat menyemarakkan industri seni kreatif di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.

“Semoga aktiviti-aktiviti seperti ini juga akan memberi pendedahan kepada pelajar UMS apabila berada di alam pekerjaan pada masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebanyak lima kategori anugerah turut disampaikan pada majlis tersebut yang menyaksikan Chingstage Production muncul sebagai penerima Anugerah Produksi Terbaik Festival Teater Opera 8.0 bagi kategori Anugerah Opera (Teater).

Rasid (kanan) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Zairul (kiri).

Bagi kategori Anugerah Kontra-Kontemporari Tradisional (Tari) pula menjadi milik Faridul Hakim yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Koreografer Terbaik.

Anugerah Animasi Terbaik dan Anugerah Cetakan Lino Terbaik bagi kategori Matrix (TSV) masing-masing dimenangi Yudas Kristo James Katulai dan Cristhiee Shenna Chin.

Sementara itu, bagi kategori Anugerah Adikarya (Penulisan), Ruzerayati Aling dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Tesis Terbaik, manakala Muhammad Mohd Yusof muncul sebagai pemenang Anugerah Novel Terbaik.

Rexynoell James Gerard dan Kristy Samunting pula masing-masing mencatat nama sebagai penerima Anugerah Gubahan Orkestra Terbaik dan Anugerah Persembahan Terbaik Alat Muzik Utama (Vokal).

Artikel berkaitan

PKLM UMS, Yayasan Sabah cipta kerjasama dalam usaha konservasi pemuliharaan Hutan Lembah Danum

UTeM menang besar di Anugerah Seni Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia

Cikgu Nadia kongsi 5 kaedah mudah dalami seni tenunan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok