Cara menarik minat pelajar dalami seni tenunan, Cikgu Nadia kongsi 5 kaedah mudah!
Cara menarik minat pelajar dalami seni tenunan, Cikgu Nadia kongsi 5 kaedah mudah!

Cikgu Nadia kongsi 5 kaedah mudah dalami seni tenunan

Roshlawaty Md Raieh
28 Feb 2022 10:57am
A
A
A

“Pembelajaran seni tenunan di peringkat sekolah menengah akan dibimbing sepenuhnya oleh guru dan ia merupakan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual (PSV),” ulas Cikgu Wan Nadia Hariani Wan Ismail, mengenai salah satu tajuk dalam subjek itu.

Merupakan guru PSV, Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut, Papar, Sabah, guru berusia 38 tahun ini berkata, seni tenunan adalah subjek yang menyeronokkan jika cikgu kreatif ketika mengajar.

“Di sekolah, guru-guru akan memperkenalkan topik Seni Tenunan Asli kepada pelajar Tingkatan Tiga, Empat dan Lima. Mereka diminta menghasilkan alat inovasi ringkas bagi memulakan proses tenunan dengan menggunakan bahan kitar semula seperti mountin board, pen, pembaris dan benang bulu kambing.

“Seni Tenunan merupakan antara aktiviti yang sukar dilaksanakan di dalam kelas kerana beberapa kekangan antaranya kekurangan bahan inovasi yang mampu menggantikan mesin tenunan yang asli, masa yang terhad kerana untuk menghasilkan tenunan mengambil masa berhari-hari dan pelajar kurang berminat dengan kraf tangan kerana rumit,” ujar Ikon Guru Kajian Tindakan PPD Papar 2021.

Bagaimanapun tambah beliau, sekiranya seseorang guru itu kreatif seperti boleh mengubah aktiviti tenunan asli yang menggunakan benang kepada bahan lain seperti tali, daun dan sebagainya, sudah tentu pelajar berminat dan menyukai pembelajaran tersebut.

Berpengalaman sebagai guru selama 14 tahun, Cikgu Nadia berkata, masa depan pelajar yang mempunyai minat dan berbakat dalam seni tenunan amat cerah kerana kraf tenunan menanti-nanti kedatangan generasi muda untuk mendalami seni tenunan dengan lebih serius.

“Jangan pula lupakan minat setelah tamat belajar di sekolah menengah. Pelajar masih ada peluang untuk teruskan bakat menenun dengan melanjutkan pengajian di institusi tertentu yang menawarkan program berkaitan seperti Institut Kraf Negara dan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja,” kata penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017, Anugerah Guru Kreatif 2020, Anugerah Guru Kreatif dan Inovatif 2021 serta Anugerah Pengurusan Kokurikulum Terbaik 2021- Persatuan PSV ini lagi.

Dalam usaha membantu pelajar mendalami seni tenunan ini, Cikgu Nadia kongsikan lima kaedah dan teknik tenunan untuk guru dan pelajar jadikan panduan sekiranya mahu mendalami seni kraf tangan ini.

Mari baca perkongsian beliau.

1) Menarik minat pelajar

Pelajar perlu didedahkan dengan hasil tenunan yang asli dan estetik supaya dapat menimbulkan minat.

2) Meneroka bahan

Pelajar akan didedahkan dengan penerokaan bahan selain benang emas supaya mereka tidak terbeban dengan kos semasa pembelajaran dalam kelas.

Membuat eksperimentasi bahan untuk mengetahui ketahanan bahan tersebut.

3) Alat inovasi tenunan

Guru bersama pelajar mencipta alat inovasi tenunan supaya dapat melancarkan aktiviti pelajar.

4) Motivasi

Guru harus memberi kata-kata semangat kepada pelajar untuk berkarya dengan cara menghantar hasil tenunan ke pertandingan seni visual, memberi pendedahan kerjaya dan membantu pelajar menjadi usahawan kraf tenunan.

5) Teknik Perkenalkan teknik dan bahan tenunan yang moden dan kreatif agar pelajar lebih bersifat keterbukaan kepada seni tenunan dan mempunyai idea untuk berkarya.

Sejarah tenunan

Tenunan adalah proses hasil jalinan atau sulaman benang-benang secara selang-seli antara benang loseng (yang menunggu) dengan benang pakan (yang mendatang) untuk dijadikan sehelai kain.

Seni tenunan adalah warisan yang terus mendapat tempat istimewa dalam kebudayaan Nusantara.

Faktor yang mendorong perkembangan seni tenunan ini ialah ia dapat disorot pada kepentingan kedudukan rantau dari segi geografi.

Sebagai tempat persinggahan kapal yang strategik, Nusantara menjadi tumpuan utama pedagang dari Tanah Arab, India dan China. Antara barangan yang didagang ketika itu ialah kain termasuk kain tenun. Oleh sebab itu, seni tenunan di Nusantara banyak dipengaruhi dari negara-negara tersebut. Di antara tenunan yang paling terkenal ialah Songket Melayu dan Tenunan Pua peribumi Borneo.

Perusahaan tenunan ini banyak dilakukan di negeri Pantai Timur khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Teknik hasil kraf tangan tenunan utama menampakkan keseragaman tekstil Melayu. Kain tenunan bererti kain atau tekstil yang dihasilkan dengan teknik tenunan yang diperbuat daripada benang.

Artikel berkaitan 

Unik! Ini yang perlu guru dan pelajar tahu mengenai tarian zapin Johor

Pendaftaran murid Tahun 1 Online Sesi 2023/2024 sekolah rendah negeri Selangor dibuka mulai 1 Mac

Guru dan ibu bapa, atasi isu murid bisu terpilih di sekolah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok