uni
uni

Masa depan ragbi wanita UPSI dan UM cerah

Rasyidah Zulkifi
22 Aug 2022 02:30pm
A
A
A

Memerlukan pergerakan yang lasak dan agresif menjadikan sukan ragbi selama ini lebih didominasi lelaki dan digeruni wanita.

Begitupun sejak kebelakangan ini ragbi dalam kalangan wanita semakin mendapat sambutan terutamanya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Antara IPTA yang mempunyai wakil pasukan sukan ragbi wanita ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaya (UM).

Menampakkan potensi sukan ini cerah untuk pasukan wanita, UPSI melalui bekas pemain ragbinya, Mohamad Alif Asyraf Che Mohd Yusoff, 31, telah menubuhkan pasukan ragbi wanita pada 2015.

“Pada masa itu saya, rakan dan pensyarah melihat sukan ini sedang naik dalam kalangan kaum wanita dan ramai di antara mereka sebenarnya yang ingin turut serta.

“Jadi untuk tahun pertama, pasukan kami telah menyertai kejohanan ragbi di Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang dan pemain-pemain semua pada awalnya tidak tahu langsung bermain.

“Sukan ini sebenarnya banyak kemahiran dan undang-undang yang perlu dipelajari, jadi kita ajar mereka bermula dari kosong sehingga boleh bermain ke tahap seterusnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Tambahnya, skil paling asas yang diajarkan kepada para pemain adalah teknik menghantar dan menangkap bola.

“Untuk yang advance, kita masukan taktikal ke dalam permainan, contoh bagaimana hendak menghantar bola supaya pergi dengan jarak lebih jauh.

“Pergerakan ini memerlukan penggunaan kaki dan tangan sama banyak sebab sambil lari pemain perlu melakukan teknik passing.

“Selepas itu, kita akan ajar mereka bagaimana untuk tackle sebab ini bukan ragbi sentuh,” ujarnya.

Ragbi sentuh

Mengulas lanjut mengenai sukan lasak ini, Mohamad Alif menjelaskan, ragbi sentuh diperkenalkan di peringkat sekolah dan tidak mempunyai banyak peraturan dikenakan.

“Kalau hendak mematikan langkah cukup dengan menyentuh badan pasukan pihak lawan, kemudian mereka perlu berhenti bermain.

“Bagi ragbi tackle pula, ia memerlukan pemain melakukan taktik hingga pihak lawan terjatuh dan ada lain-lain teknik yang lebih ekstrim.

“Begitupun, bukan atlet berbadan besar sahaja tertakluk dalam permainan ini, yang bersaiz kecil pun boleh asalkan mereka memenuhi aspek kelincahan,” jelasnya yang merupakan guru Pendidikan Jasmani, Pendidikan Kesihatan (PJPK) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam, Selangor.

Di sebalik kesibukan mendidik anak murid, beliau masih dapat menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih ragbi UPSI dengan sempurna.

“Sebagai seorang guru yang mengajar dua subjek termasuk Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), jadual saya agak padat, namun perlu bijak menguruskan masa.

“Saya mengajar sesi pagi, jadi sebelah petang pula melatih pemain ragbi wanita di Tanjung Malim,” tuturnya yang sudah tujuh tahun menjadi jurulatih ragbi.

Sementara itu, Pengurus pasukan ragbi wanita Universiti Malaya (UM), Amira Sofea An-Nur Ahmad Basri, 25, berkata, skuad mereka yang dikenali sebagai UMZombies telah ditubuhkan pada 2016.

“Penubuhan UMZombies sekali gus mencipta sejarah tersendiri kerana inilah pasukan ragbi wanita pertama UM di mana ideanya dicetuskan oleh jurulatih ragbi sentuh, Dr Jasmiza Khuzairi dan disokong penuh oleh pegawai pusat sukan UM, Muhammad Sadeeq Mustafa.

“Pada awalnya pasukan ini menumpukan kepada ragbi sentuh, tetapi telah beralih kepada rugby tackle memandangkan kejohanan besar seperti SUKIPT dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) hanya mempertandingkan jenis rugby tackle.

“Jadi, fokus UMZombies telah berubah pada 2018,” katanya yang mendapat bimbingan daripada Maslina Ahmad Ismail yang merupakan bekas Timbalan Ketua Pasukan Ragbi wanita negara.

Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah

Jasmiza dilihat sangat ‘supportive’ dan komited dengan tugas yang dilaksanakan.

“Disebabkan sifat sukan ini yang ekstrem, ragbi mendapat tempat di hati mahasiswa yang berminat dengan aktiviti lasak.

“Kebanyakan pelajar yang menyertai UMZombies tidak mempunyai pengalaman bermain ragbi.

“Begitupun, berbekalkan kegigihan dan ketekunan kami merancang pelbagai persiapan agar dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pasukan ragbi wanita lain,” jelasnya yang merancang mewujudkan kelab ragbi profesional satu hari nanti.

**

Artikel berkaitan 

Cikgu Mursyid, kongsi 6 teknik asas bermain ragbi

Ini dia 4 tip bermain ragbi

Masa depan generasi pandemik Covid-19


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok