1-1250x596
1-1250x596

MECHY-CARE pupuk minat murid SK Seri Pandan terokai STEM

Adlan Farhan Azwan
03 Oct 2022 11:19am
A
A
A

Dalam usaha memupuk minat murid-murid sekolah rendah untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), baru-baru ini telah menganjurkan program komuniti MECHY-CARE di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pandan, Parit Raja, Johor.

Program yang dianjurkan selama tiga hari dengan penyertaan seramai 170 murid itu bertujuan memperkenalkan bidang STEM kepada murid sekolah rendah di samping mempromosikan program Mekanikal di bawah FKMP.

Antara murid yang menyertai program MECHY-CARE telah menerima pensijilan. Kredit foto: News UTHM

Menurut Dekan FKMP, Profesor Madya Ir Dr Bukhari Manshoor, para pensyarah telah memanfaatkan cuti semester ini untuk melakukan khidmat masyarakat di samping berkongsi ilmu kejuruteraan kepada pelajar sekolah rendah.

“Program pemindahan ilmu ini dilaksanakan untuk memberi pendedahan dan memupuk minat murid sekolah rendah terhadap mata pelajaran yang berteraskan STEM melalui demonstrasi, pembinaan dan pertandingan roket air, penggunaan pencetak 3D, aplikasi menggunakan perisian Arduino, dron, peralatan pengukur suhu dan robot.

“Selain itu, ia juga menggalakkan murid memilih jurusan STEM di peringkat sekolah menengah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan seterusnya dalam kerjaya,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Salah satu aktiviti yang dijalankan ialah pertandingan roket air. Kredit foto: News UTHM

Dalam pada itu, Bukhari berkata, sepanjang program ini dijalankan, murid-murid telah diberi pendedahan tentang teknologi terkini seperti penggunaan peralatan dan peranti teknologi dalam memantapkan pemahaman murid dalam subjek STEM.

“Pelaksanaan program ini turut memberi tambah nilai kepada program Kejuruteraan Mekanikal yang terdapat di universiti ini dan juga mengeratkan hubungan antara UTHM dan sekolah-sekolah sekitar daerah Batu Pahat, Johor.

“Segala aktiviti yang dijalankan dengan bimbingan pensyarah UTHM telah dirangka dengan teliti bagi memastikan kreativiti murid dalam menterjemahkan reka bentuk ke aplikasi sebenar dapat dilakukan yang mana ia membuka peluang kepada mereka untuk mengendalikan peralatan sains secara praktikal,” jelas beliau.

Melihat kepada kejayaan program ini, FKMP berhasrat untuk menganjurkannya di sekolah-sekolah lain supaya murid-murid memperoleh manfaat daripada aktiviti pemindahan ilmu kendalian pendidik UTHM.

Artikel berkaitan

Penyelidik UKM dan UNIMAS hasilkan sistem penskoran madu kelulut UKSF

Inovasi kenal pasti penyakit Scoliosis terima penganugerahan Tokoh Muda Kejuruteraan Malaysia pertama

Kerja keras 4 penyelidik berbaloi apabila inovasi COVTIS69 mereka muncul juara


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok