no image

'MSU International Cultural Festival’ beri peluang warga universiti kenali budaya dan tradisi Uzbekistan

Roshlawaty Md Raieh
28 Jul 2022 04:32pm
A
A
A

Menyedari potensi besar Republik Uzbekistan dari segi demografik, ekonomi, pelancongan dan pendidikan, Management and Science University (MSU) menganjurkan ‘MSU International Cultural Festival’ baru-baru ini dalam usaha mengenali lebih dekat kepelbagaian kebudayaan dan tradisi negara berkenaan.

Program tersebut merupakan inisiatif yang memberikan pendedahan kepada para pelajar menghargai seni dan persefahaman kebudayaan antara masyarakat berlainan bangsa dan agama khususnya Uzbekistan.

Ia juga adalah platfom memperkasakan hubungan antara kedua buah negara yang berkongsi nilai dan tradisi dengan pendidikan sebagai faktor perubahan yang utama.

Malah, kunjungan delegasi kebudayaan Uzbekistan ke MSU ini juga adalah signifikan meraikan 30 tahun hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Uzbekistan yang bermula melalui pembukaan pejabat kedutaan Malaysia di Tashkent pada tahun 1992.

Sambutan ‘MSU International Cultural Festival’ yang diadakan turut dihadiri Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ravshan Usmanov.

Turut serta ialah pengurusan kanan MSU, wakil kedutaan Uzbekistan di Malaysia, para pelajar dan kumpulan penari kebudayaan Uzbekistan yang didatangkan khusus ke Malaysia.

Pada majlis berkenaan, ahli MSU Performing Arts & Cultural Club (PACC) telah mempersembahkan tarian tradisional mengikut pelbagai etnik di Malaysia.

Sepanjang seminggu delegasi Uzbekistan berada di MSU, pelbagai aktiviti telah diadakan dalam mempromosikan kepelbagaian kebudayaan, antaranya persembahan tarian tradisional, bahasa Uzbek dan pameran pakaian kebangsaan.

Sementara itu, kerjasama pintar MSU di Uzbekistan merentasi bidang Farmaseutikal dan Penjagaan Kesihatan, Pensijilan Halal, Latihan, Pertanian dan Penternakan.

Manakala dalam bidang pendidikan pula menyaksikan kolaborasi MSU dengan rakan universiti di Uzbekistan seperti Navoi State Pedagogical Institute, Bukhara State University, Bukhara State Medical Institute serta Samarkand State Institute of Foreign Languages.

Dalam perkembangan lain, kebudayaan Uzbekistan yang unik dan kaya dengan nilai sejarah telah menyaksikan tarian Lazgi tersenarai dalam senarai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan di bawah kategori warisan budaya tidak ketara dunia.

Selain itu, beberapa khazanah Uzbekistan lain yang turut tersenarai dalam UNESCO termasuk daerah tenggara Boysun, muzik Shahmaqom, hidangan tradisional Palov, Askiya (seni budaya) dan lagu tradisi Katta Ashula.

Artikel berkaitan 

Baru 30-an, sumbangan Cikgu Tarmizi dalam bola sepak SK Bukit Mutiara membanggakan!

Model-model komputer riba murah buat pelajar IPT, milikinya serendah RM500

Hasil berlatih tanpa jemu, atlet SeMShah akhirnya bergelar raja pecut daerah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok