PHOTO-2022-11-02-10-49-00 (2)
PHOTO-2022-11-02-10-49-00 (2)

MyUni Tutor tawar tuisyen percuma kepada pelajar bakal duduki SPM

Adlan Farhan Azwan
04 Nov 2022 04:06pm
A
A
A

Dalam usaha membantu para pelajar yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik, Sistem Permohonan Universiti dan Kolej Malaysia (MyUni) telah mewujudkan MyUni Tutor iaitu kelas tuisyen percuma sepenuhnya kepada pelajar Tingkatan Empat dan Lima yang bakal mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kewujudan platform MyUni Tutor ini bertujuan membantu pelajar meningkatkan pemahaman dalam pembelajaran dan sekali gus dapat menyumbang kepada keputusan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan.

Meskipun baru sahaja dilancarkan, MyUni Tutor mempunyai 10 orang tenaga pengajar yang berpengalaman dengan lebih 1,000 pelajar berdaftar.

Kelas tuisyen MyUni Tutor akan dibimbing oleh tenaga pengajar yang berpengalaman secara dalam talian.

MyUni Tutor menyediakan kelas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Kimia, Perakaunan, Ekonomi, Matematik Tambahan, Perniagaan, Biologi, Fizik, Pendidikan Moral, dan Pendidikan Islam.

Para pelajar yang membuat pendaftaran boleh memilih untuk mengikuti mana-mana kelas tersebut secara percuma mengikut jadual masa dan tarikh yang ditetapkan di platform MyUni Tutor.

Untuk pengetahuan anda, MyUni merupakan platform permohonan kemasukan pelajar yang menyenaraikan pelbagai institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berbeza di bawah satu bumbung dan memudahkan urusan permohonan pengajian tanpa perlu melayari setiap laman sesawang institusi pendidikan di Malaysia.

Portal tersebut memudahkan pemohon membuat pilihan tempat belajar dengan membuat perbandingan seperti yuran pembelajaran, fasiliti, lokasi dan banyak lagi.

Selain itu, inisiatif lain seperti MyUnivers dan Karnival Pendidikan MyUni juga dilihat dapat membantu lebih ramai lepasan sekolah khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) yang tidak ditawarkan tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk mendapat peluang pendidikan tinggi yang berkualiti.

MyUni akan terus berusaha untuk memainkan peranan yang aktif dalam sistem pendidikan negara dengan menyediakan akses ke pendidikan tinggi kepada kelompok B40 khususnya pelajar yang tidak mendapat tempat di IPTA.

Dalam pada itu, MyUni juga mempunyai potensi besar untuk diperluaskan lagi dari semasa ke semasa dengan memperkenalkan komuniti MyUni yang akan disertai para pelajar yang memanfaatkan platform itu.

Perkembangan tanpa henti sering dilakukan bagi menjadikan MyUni sebagai portal bersepadu dan komprehensif yang merangkumi semua bidang pengajian.

Pihak MyUni juga bersedia jalin kerjasama yang bersesuaian dengan mana-mana persatuan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan tinggi dalam kalangan masyarakat dan membantu mempromosi peluang pendidikan yang ditawarkan di universiti, kolej universiti dan kolej.

Pelajar yang berminat untuk menyertai tuisyen percuma ini boleh membuat pendaftaran di www.tutor.myuni.com.my.

Untuk maklumat lanjut mengenai MyUni, Karnival Pendidikan MyUni, dan MyUni Tutor, sila layari laman sesawang MyUni di www.myuni.com.my atau hubungi talian 03 6187 6977 atau 017-634 6838.

Artikel berkaitan

Pencapaian IPTS membanggakan bidang pendidikan negara

5 kumpulan penyelidik universiti terima GPPT MQA

Perpustakaan IPTA/S yang tercantik di seluruh negara


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok