Untitled design (15)
Untitled design (15)

OKU bukan penghalang capai kejayaan

Azleenda Sahaludin
15 Nov 2022 10:57am
A
A
A

Selepas didagnosis menghidap penyakit Reptinitis Pigmentosa (RP) dan memegang status Orang Kurang Upaya (OKU), ia sedikit pun tidak pernah menghalang Muhammad Nasrun Fadli Norsalim menamatkan pengajiannya di institusi pengajian tinggi (IPT).

Muhammad Nasrun Fadli Norsalim ketika menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UUM.

Graduan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ini yang penglihatannya mula terjejas sejak berusia 16 tahun mengakui penyakit yang dihadapinya sedikit sebanyak menganggu kehidupan seharian lebih-lebih lagi penglihatannya terbatas mengikut persekitaran tertentu.

“Banyak cabaran yang saya lalui sebagai seorang OKU penglihatan ini, antaranya pergerakan yang terhad jika sesebuah tempat itu mempunyai pencahayaan yang kurang.

“Saya juga agak sukar untuk pergi kelas sekiranya diadakan pada waktu malam. Namun, sekiranya perlu, akan ada bantuan dari rakan-rakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Walaupun pergerakan anak kelahiran negeri Kedah ini terbatas, ia sedikit pun tidak menghalang Muhammad Nasrun untuk turut aktif dalam aktiviti persatuan dan kelab di universiti.

Ini terbukti apabila pemuda berusia 25 tahun ini dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Mahasiswa Istimewa (PERMAI) yang memfokuskan kepada keperluan dan kebajikan pelajar OKU di UUM.

Disebabkan itu jugalah, Muhammad Nasrun telah terpilih untuk menerima Anugerah Khas PERKESO baru-baru ini.

Selain itu, anak bongsu dari empat beradik ini juga berkata, kejayaannya memperoleh ijazah sarjana muda telah melengkapkan keseluruhan ahli keluarganya berjaya menggenggam segulung ijazah.

“Saya bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian dan ia adalah satu pencapaian yang membanggakan untuk saya dan keluarga,” tuturnya.

Muhammad Nasrun telah menerima ijazah dalam jurusan Pengurusan Kerja Sosial pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-34 pada 7 November lalu.

Bercita-cita ingin menjadi seorang pensyarah, Muhammad Nasrun merancang untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat sarjana dalam bidang psikologi.

Artikel berkaitan

Pelajar UUM luah rasa syukur dan gembira terima PerantiSiswa

UUM bantu dua kilang peroleh sijil GMP

Noradlie jadikan kegigihan banduan sebagai inspirasi sambung pengajian di UUM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok