Pasangan kembar seiras teruja masuk UM bersama
Pasangan kembar seiras cukup teruja apabila dapat bersama-sama mengikuti Pengajian Asasi Sains Hayat di Universiti Malaya (UM).
Nur Nadirah Mohd Faiz dan adik kembarnya, Nur Najihah seperti dipetik laman Facebook UM menyatakan mereka adalah antara pelajar baru yang mendaftar di pusat pengajian tinggi itu, baru-baru ini.
Laman media sosial itu turut memaklumkan, hampir 2,000 pelajar program Asasi Sains (Hayat dan Fizikal), Asasi Pengajian Islam, Asasi Pengajian Islam dengan Sains, Program Khas Bahasa Arab (PKBA) dan Rancangan Pengajian Khas ke Jepun (RPKJ) mendaftar untuk sesi akademik kali ini.
Berkongsi perasaan memasuki universiti itu, Nur Nadirah bersyukur kerana berjaya memasuki UM selepas mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kami amat bersyukur kerana diberi peluang untuk mengikuti program pengajian yang sama, di tempat (universiti) yang sama.
“Terima kasih juga kepada UM kerana membenarkan kami tinggal sebilik di Kolej Kediaman Ungku Aziz,” ujarnya yang berasal dari Selangor.
Nur Nadirah seperti dipetik UM dalam laman Facebook universiti itu berkata, mereka memilih institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan berikutan statusnya yang mempunyai kualiti pendidikan bertaraf dunia.
Ini kerana, mereka percaya kualiti pengajaran dan pembelajaran di UM akan membantu membina jati diri yang kuat.
Sementara itu, Nur Nadirah ketika berkongsi minatnya dalam mata pelajaran SPM berkata, dia meminati subjek Matematik dan Matematik Tambahan, manakala Nur Najihah lebih cenderung kepada Kimia.
“Kami saling bantu-membantu ketika mengulang kaji pelajaran, namun saya lebih menggemari Matematik dan Matematik Tambahan, manakala Najihah lebih suka Kimia," ujarnya.
Selain itu, ketika berkongsi mengenai makanan kegemaran pula, Nur Nadirah berkata, citarasa mereka agak berbeza.
“Memang (selera) tidak sama, saya suka nasi goreng ayam, manakala adik pula nasi goreng Pattaya," ujarnya.
Artikel berkaitan
Pelajar dan alumni UniSZA pasarkan Melon Manis Terengganu di MAHA 2022
UMK terima 257 pelajar baharu program Asasi Sains sesi Akademik 2022/2023
Penyelidik UMP berjaya hasilkan sisa nanas alternatif medium penanaman cendawan