Untitled design (74)
Untitled design (74)

Pembelajaran bukan penghalang untuk terus mengembangkan kerjaya sebagai atlet peninju profesional

Azleenda Sahaludin
18 Jan 2023 09:41am
A
A
A

Bermula dengan sekadar ‘suka-suka’, kini Adli Hafidz Mohd Pauzi merupakan pemegang gelaran atlet peninju profesional dalam kategori Super Middle Weight.

Terbaharu anak kelahiran Johor Bahru ini telah menewaskan atlet dari negara jiran, Thailand dalam KBX Boxing Evolution 50 di Fight Pro-Motion Gym Singapura.

Pemuda berusia 34 tahun ini telah memulakan kerjayanya itu ketika berumur 15 tahun dan dia berjaya menduduki tempat kedua dalam satu pertandingan tinju yang disertainya.

Adli Hafidz

Bercerita lebih lanjut, Adli Hafidz memberitahu, jurulatih banyak menitipkan pesan untuk berlatih bersungguh-sungguh sekiranya ingin meneruskan kerjaya sebagai seorang atlet peninju profesional.

Dia yang kini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Johor Bahru sebagai pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan secara separuh masa berkata, hasil usaha keras dan latihan berkala telah menjadikan dirinya semakin berani dalam usaha memperoleh lebih banyak kemenangan dalam sukan berkenaan.

 Peninju profesional bentuk jati diri

Tutur Adli Hafidz lagi, perasaan gembira ketika berjaya menewaskan atlet lawan adalah antara faktor dirinya ingin terus fokus menjadi seorang atlet profesional dalam sukan itu.

Ini kerana proses pembelajaran sukan tinju bukan sekadar berlatih menjadi lebih kuat malah ia juga banyak mengajarnya erti sebuah kehidupan.

Sebagai contoh, proses mencapai kejayaan tidak datang secara percuma kerana ia memerlukan pengorbanan serta usaha keras yang konsisten.

Katanya, usaha yang dinyatakan bukan hanya meliputi latihan secara berkala malah dia juga perlu menitikberatkan penjagaan makanan dan waktu tidur.

“Kejayaan tidak hanya memfokuskan siapa yang menang atau siapa yang kalah.

“Tetapi ia dilihat dari sudut disiplin seseorang atlet ketika latihan, penjagaan makanan serta diri seperti tidur mengikut masa yang betul dan sebagainya.

“Disiplin ini juga akan membentuk jati diri seorang atlet supaya tidak mudah terjebak dengan gejala yang tidak sihat,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.

Perancangan masa depan

Selain itu, Adli Hafidz menjelaskan, kejayaannya menentang atlet lawan dari Thailand baru-baru ini merupakan rekod kemenangan yang ke-11.

Dia juga memaklumkan, pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang terlibat dalam sukan berkenaan telah mendorong dirinya untuk menubuhkan satu akademi tinju bagi melatih anak-anak muda yang berminat untuk menjadi atlet peninju profesional.

Jelasnya lagi, akademi tersebut boleh dijadikan sebagai tempat mencari pelapis baru yang bakal menggantikannya suatu hari nanti.

Pembahagian masa

Mengulas lebih lanjut tentang pembahagian masa antara latihan dan pembelajaran, Adli Hafidz tidak mempunyai sebarang masalah malah dapat menguasai kedua-duanya.

Dia berkata, pelajar yang aktif bersukan hendaklah sentiasa rajin bertanya kepada pensyarah supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Alhamdulillah, pensyarah sangat memahami kekangan waktu yang dialami oleh saya sehingga mereka memberi sedikit kelonggaran.

“Namun, ia bukan alasan untuk saya mengambil mudah perkara tersebut malah saya tetap mencari inisiatif untuk menyiapkan setiap tugasan yang diberikan dalam masa seminggu antara Isnin hingga Jumaat sebelum menghadiri kuliah pada hari Sabtu,” jelasnya lagi.

Artikel berkaitan

Manfaatkan cuti sekolah, PPIM UiTM anjur Program Canva

Kepakaran pustakawan UiTM jadi rujukan SEBARU untuk mantapkan pengurusan perpustakaan sekolah

Pasukan Koir UiTM ungguli kejuaraan Festival Koir Antarabangsa di Barcelona


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok