Pengajian pascasiswazah bukan suatu perlumbaan
Pengajian pascasiswazah bukan suatu perlumbaan

Pengajian pascasiswazah bukan suatu perlumbaan

webadmin
24 Feb 2022 02:09pm
A
A
A

Dunia pascasiswazah melibatkan pengajian sama ada di peringkat sarjana atau doktor falsafah (PhD).

Seperti yang dilaporkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025, enrolmen pelajar peringkat pascasiswazah dilaporkan meningkat sebanyak 10 kali ganda antara tahun 1990 dan 2010.

Negara juga pernah menetapkan sasaran bilangan graduan PhD seramai 60,000 menjelang 2023.

Hasrat ini menjadikan pengajian pascasiswazah semakin mendapat tempat. Bahkan, penawaran geran penyelidikan oleh agensi tertentu turut mewajibkan penyeliaan pelajar pascasiswazah sebagai suatu syarat.

Dengan populariti ini, isu-isu berkaitan dunia pascasiswazah semakin kerap dibincangkan di media sosial. Isu-isu seperti peluang pekerjaan untuk graduan, kaedah penulisan saintifik, menghadapi ragam penyelia dan sebagainya hangat diperbincangkan.

Antara persoalan menarik yang pernah ditimbulkan - bagaimana untuk memastikan seseorang pelajar pascasiswazah itu berkualiti atau tidak? Malah baru-baru ini tular persoalan mengenai graduan PhD terlalu ramai dan aspek kualiti pelajar yang menjadi perdebatan.

Saya turut mencetuskan persoalan sama sewaktu di peringkat awal pengajian PhD. Melangkah terus dari peringkat sarjana muda ke PhD, saya sememangnya kurang arif dengan selok belok dunia penyelidikan pascasiswazah.

Disebabkan pengajian pascasiswazah lazimnya tidak dinilai melalui gred A atau B, soal ‘kejayaan’ seseorang pelajar itu sukar untuk dikenalpasti. Pada ketika ini, saya menganggap siapa yang cepat menghabiskan pengajian sebagai pengukur kejayaan utama.

Atas dasar ini, saya berazam untuk menamatkan pengajian secepat mungkin. Ditakdirkan, saya diberi peluang untuk tamat pengajian dalam tempoh kurang tiga tahun. Ketika itu, saya merasakan pengajian saya begitu sempurna.

Baca juga 

Guru-guru di Malaysia kongsi kenangan indah bergelar cikgu

Guru menawan buat pelajar jadi lebih pandai. Betul ke?

Namun, setelah lama berada dalam dunia akademik, saya mula menyedari sedikit kekhilafan tentang tanggapan tersebut. Yang sebenarnya, cepat atau lambat, bukanlah ukuran kejayaan seorang pelajar pascasiswazah. Persepsi ini harus diperbetulkan.

Pengajian pascasiswazah kebanyakannya berasaskan penyelidikan, bukannya menghadiri kelas dan menjawab peperiksaan seperti di peringkat pengajian sarjana muda. Kualiti seorang pelajar diukur melalui pelbagai kriteria. Antara kriteria penilaian yang digunakan adalah bilangan penerbitan ilmiah, nilai H-index dan anugerah dalam pertandingan inovasi.

Hal ini membuatkan pelajar (juga para pensyarah) meletakkan sasaran untuk mencapai kriteria yang bersifat materi ini. Sasaran sebegini adalah bagus dalam memastikan setiap pelajar mempunyai hala tuju yang jelas.

Namun, perkara yang menggusarkan adalah sebahagian pelajar berlumba-lumba mengejar kriteria kualiti ini. Dengan tidak menafikan persaingan sihat yang boleh berlaku, sifat bersaing ini boleh memberi tekanan kepada pelajar.

Akan timbul persoalan seperti ‘Mengapa rakan sealiran boleh menerbitkan kajian di jurnal Q1, tetapi aku tidak boleh?’ atau ‘Saya menyelidik teori asas sains, sukar untuk diterjemahkan ke dalam bentuk produk inovasi dan dikomersialkan.’ Perbandingan prestasi ini sebenarnya boleh melumpuhkan motivasi seseorang pelajar secara senyap.

Setiap pelajar harus memahami bahawa sifat setiap bidang ilmu itu adalah unik. Contohnya, sesetengah bidang lebih ‘mudah’ untuk diterbitkan di jurnal berimpak tinggi.

Penerbitan dalam bidang A lebih ‘popular’ berbanding bidang B, lalu membawa kepada jumlah petikan (citation) yang lebih tinggi. Penyelidikan peringkat asas pula lebih sukar untuk diterjemahkan ke dalam bentuk aplikasi, berbanding penyelidikan yang berfokuskan produk.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Justeru, perbandingan (juga perlumbaan) dalam mencapai tahap kualiti penyelidikan ini harus diteliti sebaiknya. Perbandingan melalui aspek kuantiti materi (penerbitan, penganugerahan, jumlah petikan, jangka masa pengajian) semata-mata adalah sesuatu yang kurang tepat. Perbandingan ini jika dibuat secara melulu, boleh mengganggu proses pengajian seseorang pelajar.

Kriteria penilaian kualiti seseorang juga bersifat subjektif, lebih-lebih lagi apabila melibatkan cara berfikir, falsafah hidup yang dianuti dan nilai etika.

Sebagai contoh, saya pernah bertemu seorang penyelia dari Eropah yang mahukan pelajar menumpukan perhatian kepada proses pengajian dan tidak menulis sebarang penerbitan sehinggalah tamat pengajian.

Terdapat juga seorang pelajar PhD yang tidak dapat menerbitkan hasil penyelidikan kerana melibatkan maklumat sulit pihak industri yang memberi tajaan. Apakah pengajian golongan ini akan dianggap sebagai tidak berkualiti?

Sepanjang pengajian, pelajar seharusnya memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan mengasah pemikiran untuk menjadi kritis. Konsep penyelidikan yang terbuka memerlukan pemikiran aras tinggi pelajar dan sikap ingin tahu. Tanpa sifat-sifat ini, pelajar akan sekadar mengikut telunjuk penyelia tanpa ada usaha untuk menerokai sendiri. Hasilnya, pengajian pascasiswazah hanya sekadar ‘asal siap’ dan bukannya wadah untuk memperbaiki kemampuan diri.

Pengajian pascasiswazah adalah pengalaman menimba ilmu untuk dimanfaatkan. Cabaran dalam penyelidikan tentunya sesuatu yang menjadi beban dan mahu dielakkan. Namun, pengalaman tersebutlah yang sebenarnya menjadikan seorang pelajar lebih matang dari aspek penyelesaian masalah.

Pengalaman memeritkan ini bakal menjadikan pelajar lebih berdikari apabila melangkah masuk ke alam pekerjaan. Malangnya, pengalaman dan peningkatan nilai diri ini begitu subjektif, tidak zahir dan sukar dinilai, apatah lagi jika hendak dimasukkan dalam kriteria penilaian pencapaian seorang pelajar pascasiswazah.

Justeru, tidak wajar tergesa-gesa, berlumba-lumba dan membandingkan antara seorang pelajar dengan pelajar yang lain.

Fokus perlu diberikan kepada pemantapan nilai diri pelajar sebagai seorang penyelidik, bukan semata-mata pencapaian yang tercatat di atas kertas. Keseimbangan ini akan mampu menambah kualiti graduan pascasiswazah yang bakal menyumbang kepada negara dalam bidang masing-masing.

Maklumat Penulis

Dr Norshah Aizat bin Shuaib (Shahkang)

Pensyarah dari Kangar, Perlis.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok