Penyelarasan bantuan pelajar IPT dengan Kad Prihatin Siswa
Kad Prihatin Siswa (KPS) merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama universiti awam (UA) seluruh negara dengan kerjasama bank RHB yang bertujuan mewujudkan kewangan yang lebih baik kepada mahasiswa.
KPS merupakan Kad Matrik pelajar sedia ada telah dinaiktaraf dengan gabungan Kad Visa Islamic RHB Bank yang memberikan banyak kebaikan kepada pelajar terutamanya dari segi penggunaan bayaran tanpa tunai dalam kampus.
Selain itu, ia juga bertujuan menyelaraskan pinjaman atau bantuan kewangan daripada kerajaan kepada pelajar di samping memperkenalkan pelbagai promosi tambahan dari semasa ke semasa.
Menyedari kepentingan tersebut, baru-baru ini, kira-kira 4,000 pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima dan menyambut baik pengedaran dan pengaktifan KPS yang melibatkan semua kategori pelajar, pra dan pasca siswazah; pelajar antarabangsa serta pelajar pendidikan jarak jauh (PJJ).
Menurut Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumninya, Shielawanis Abdul Karim, dengan adanya kad ini ia memudahkan lagi urusan kewangan pelajar.
“Selepas ini, segala penyaluran pinjaman seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN), biasiswa atau bantuan daripada kerajaan kepada pelajar akan terus disalurkan ke akaun ini.
“Oleh itu, diharapkan semua pelajar memberi kerjasama mengaktifkan akaun bank masing-masing supaya tidak tercicir menerima sebarang bantuan yang bakal diberikan kelak,” katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Bestari.
Sementara itu, program penyerahan dan pengaktifan KPS telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor USM, Profesor Dr Azlinda Azman di Dewan Utama Pelajar.
Dalam majlis yang sama, USM turut menyerahkan Peranti Siswa kepada pelajar yang berjaya dan ia turut dihadiri, Ketua Pegawai Eksekutif, Bank RHB, Datuk Adissadikin Ali.
Jelas Shielawanis lagi, sekiranya pelajar tidak mengaktifkan akaun, ini akan menyebabkan bantuan kewangan tidak akan diterima.
Dalam pada itu, salah seorang penerima KPS, Muhammad Faris Yahani memberitahu, ini merupakan satu inisiatif baik oleh kerajaan di samping tidak melupakan kebajikan pelajar-pelajar terutamanya di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Saya bersyukur dan gembira kerana dengan adanya KPS ini ia akan memudahkan proses pembayaran tanpa tunai dalam kampus,” katanya.
Sementara itu, Dr Azlinda berkata, pengaktifan akaun KPS dilakukan secara percuma kepada semua pelajar bermula 7 hingga 11 November ini.
“USM sangat komited dalam pembaharuan ekosistem kewangan yang diperkenalkan oleh kerajaan agar usaha universiti untuk menjadi kampus pembayaran tanpa tunai dapat dilaksanakan sepenuhnya,” sambung beliau.
Artikel berkaitan
USM prihatin, sediakan bantuan khas kepada pelajar
Program JMKM Siswa bantu pelajar dapatkan barangan dengan harga lebih rendah
Tidak pernah berpisah sejak kecil, kembar 3 teruja ikuti pengajian di USM