kelulut
kelulut

Penyelidik UKM dan UNIMAS hasilkan sistem penskoran madu kelulut UKSF

Norliza WasilanNorliza Wasilan
29 Sep 2022 04:37pm

Sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berjaya menghasilkan sistem penskoran iaitu Unique Kelulut SuperFood Factor (UKSF) bagi produk madu kelulut.

Sistem berkenaan dijangka dapat membantu pengeluar dan penternak kelulut memastikan produk dihasilkan berkualiti tinggi seterusnya berupaya menembusi pasaran antarabangsa.

Menerusi sistem ini juga, mereka boleh mendapatkan ‘star’ rating bagi produk keluaran mereka sebagai penanda aras.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Datuk Dr Wan Kamal Mujani, sistem penskoran yang dibangunkan itu tidak terhad untuk keluaran dalam negara saja, tetapi juga untuk negara pengeluar lain.

“Kejayaan penyelidikan ini dapat menjadikan madu kelulut yang dihasilkan di negara ini setanding dengan madu Manuka.

“Madu Manuka sebenarnya sudah lama menggunakan sistem penskoran berasaskan pembuktian saintifik,” ujarnya pada Majlis Pelancaran UKSF, baru-baru ini, seperti dipetik portal universiti berkenaan.

Sekadar gambar hiasan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri II, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Penyelidik UKM yang terbabit menghasilkan sistem penskoran UKSF itu ialah Profesor Madya Dr Razinah Sharif dari Fakulti Sains Kesihatan manakala Dr Arnida Hani Teh dan Dr Noorul Syuhada Mohd Razali pula daripada Fakulti Sains dan Teknologi.

Turut terlibat ialah Profesor Dr Zainab Ngaini dari Unimas dan Hisham Yusoff dari industri Bayu Gagah (M) Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, ujar Wan Kamal, isu lambakan produk madu kelulut yang tidak dapat dipastikan keasliannya boleh diatasi dengan menggunakan sistem berkenaan.

“Analisis saintifik yang dijalankan dalam penyelidikan itu dapat membantu penternak kelulut mendapatkan bukti terbaik untuk menyokong kualiti produk madu dihasilkan,” tambahnya.

Gambar hiasan. Foto/Sinar Harian.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, dengan adanya sistem berkenaan diharapkan lebih ramai pengusaha akan memberikan sokongan kepada usaha dilakukan penyelidik berkenaan.

“kita berharap semua pihak akan memberi sokongan kepada UKM bagi memastikan produk madu kelulut yang dihasilkan adalah bermutu tinggi dan dapat dibuktikan dengan analisis saintifik,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Saintis UKM cipta formulasi gel, bantu golongan disfagia menelan ubat-ubatan dengan baik

INNO4C USM bantu penternak B40 di Sarawak tingkatkan pasaran madu kelulut

Kreativiti 23 pelajar tahun akhir hasilkan produk percetakan buat ramai terpegun!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp