FRXAOEXacAIrdXe
FRXAOEXacAIrdXe

Pertandingan hias panjut pelita meriahkan Ramadan, Syawal warga UiTM Melaka

webadmin
28 Apr 2022 05:10pm
A
A
A

ALOR GAJAH - Kira-kira 640 pelita digunakan bagi menghiasi 16 panjut buluh berkonsepkan rumah Melayu lama pada pertandingan dekorasi sempena program Malam Pelita Tujuh Likur anjuran Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka.

Ketua projek yang juga pensyarah Seni Reka Perindustrian, Ahmad Faiz Anuar berkata, program itu bagi memeriahkan suasana dan meraikan budaya serta tradisi masyarakat Melayu turun temurun menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Sejak sekian lama aktiviti memasang panjut ini diadakan setiap tahun di KPSK yang dahulunya dikenali sebagai Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR). Namun selepas dua tahun pandemik Covid-19 melanda, ia diadakan semula selain memberi peluang kepada para pelajar yang pertama kali hadir ke sesi pembelajaran secara bersemuka untuk merasai pengalaman seumpama ini.

Baca juga

Majlis Jalinan Ukhwah Ramadan Alumni tingkatkan jalinan sinergi UiTM bersama alumni

Cakna dengan komuniti setempat, PTPTN dan Politeknik Port Dickson anjur Program Imarah Ramadan 2022

“Program ini diharap dapat menguji kreativiti dan inovasi pelajar dengan mempamerkan pelbagai reka bentuk panjut menggunakan buluh yang dihiasi dengan pelita di samping mengeratkan silaturahim dan membentuk kesepaduan, berganding bahu menyiapkan hiasan itu,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut Ahmad Faiz, pertandingan hiasan berkonsepkan rumah Melayu lama itu bagi membangkitkan nostalgia dengan disertai pelajar daripada Jabatan Seni Halus, Jabatan Fotografi dan Pengimejan Kreatif, Jabatan Seni Reka Perindustrian serta Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital.

Seorang pelajar, Muhammad Haikal Ikhtiaruddin Mohd Mazlishama,19, yang berasal dari Johor berkata, aktiviti seumpama itu merupakan satu pengalaman baharu dan menyeronokkan di samping mempelajari cara pemasangan panjut buluh.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Nur Azmina Azhar, 20, dari Negeri Sembilan pula berkata tradisi pemasangan panjut sewajarnya diwarisi generasi muda bagi memastikan budaya itu tidak ditelan zaman dalam memeriahkan suasana Ramadan dan Syawal yang dilihat menyemai sikap kerjasama dan gotong-royong.

Dalam pada itu, 25 pelajar kurang berkemampuan turut menerima bantuan zakat daripada UiTM manakala 20 pekerja pembantu kebersihan kampus menerima sumbangan Gerobok Kasih, hasil inisiatif 'Geng Ngaji' Srikandi yang disampaikan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Melaka, Datuk Dr Mohd Nor Hajar Hasrol Jono yang turut dihadiri oleh Ketua KPSK, Dr Nadzri Mohd Sharif. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok