Program JMKM Siswa bantu pelajar dapatkan barangan dengan harga lebih rendah
Program JMKM Siswa bantu pelajar dapatkan barangan dengan harga lebih rendah

Program JMKM Siswa bantu pelajar dapatkan barangan dengan harga lebih rendah

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
04 Nov 2022 09:37am

Masalah kewangan yang dihadapi kebanyakan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) hari ini bukanlah satu perkara baharu.

Sejak dahulu hingga sekarang, masalah tersebut sering kali menghantui para pelajar di negara ini sehinggakan ada antaranya terpaksa menolak tawaran ke IPT kerana berhadapan masalah kewangan.

Bagi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), rintihan mahasiswa mereka berkaitan perkara ini sentiasa mendapat perhatian pengurusan tertinggi.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar, UMT telah memperkenalkan pelbagai inisiatif dan program bantuan dalam membantu pelajar berkaitan.

Tambah beliau, program-program seperti bantuan khas Covid-19; kemudahan pembelajaran berbentuk komputer riba dan pelan data internet; makanan percuma melalui gerobok rezeki, khairat kematian, talian e-Kaunseling dan banyak lagi telah diberikan kepada pelajar dan ramai yang mendapat manfaatnya.

Mengulas lanjut mengenai program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) Siswa yang diperkenalkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, Mazlan memberitahu, ia adalah bentuk bantuan yang cukup tepat dalam membantu golongan mahasiswa di IPT Awam (IPTA).

“JMKM Siswa menyediakan pelbagai barangan keperluan dan alat tulis yang boleh dinikmati oleh pelajar dengan harga lebih rendah.

“Adanya JMKM Siswa ini, sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban pelajar sepanjang mereka mengikuti pengajian di UMT.

“Besar harapan saya agar mereka dapat menggunakan segala kemudahan yang disediakan oleh JMKM Siswa untuk meneruskan pembelajaran di universiti ini,” ujarnya ketika pelancaran JMKM Siswa di kampus UMT, baru-baru ini yang dirasmikan Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen merangkap Ahli Lembaga Pengarah UMT, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

INFO JMKM

  • JMKM Siswa diperkenalkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar di semua IPTA bermula Oktober 2022 bagi meringankan beban pelajar sempena pembukaan semula universiti selepas cuti semester.
  • Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) diberi tanggungjawab bagi pelaksanaan JMKM Siswa dengan kerjasama kedai koperasi, pusat keusahawanan di IPT, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
  • JMKM Siswa dimulakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada minggu pertama Oktober lalu sebelum diperluaskan kepada 20 kampus IPTA seluruh Malaysia.
  • Pelaksanaan JMKM Siswa adalah sama dengan JMKM sedia ada iaitu jualan dibuat dua hari setiap minggu sehingga 31 Disember ini.
  • Pelbagai barangan dijual menerusi program ini, antaranya alat tulis, perkhidmatan cetakan, tambahan prabayar data telekomunikasi, buku dan makanan.

Artikel berkaitan 

Mahasiswa bawa pulang RM27,900 dalam James Dyson Award, menang inovasi MA-Pencil bantu perkembangan kanak-kanak autisme

Penyelidik UMT jalankan kajian berkaitan habitat dan pembenihan ketam bakau

Berjaya kumpul RM21,570 untuk projek khidmat masyarakat, usaha keras 7 pelajar master UKM dipuji ramai


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp