Program kesedaran kesihatan mental bantu pelajar tangani masalah depresi
Sejak negara dilanda Covid-19, landskap dunia pendidikan telah berubah kepada norma baharu di mana sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) telah bertukar wajah kepada paparan skrin dalam talian.
Pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak terkecuali terpalit dengan perubahan ini. Mereka terpaksa berada di hadapan komputer saban hari bagi menghadiri kuliah, amali dan menyiapkan tugasan serta menghadiri latihan industri secara maya.
Bebanan tugasan dan kurangnya aktiviti sosial telah menyebabkan kesihatan mental dan fizikal mereka terjejas.
Sehubungan itu, seramai 31 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mengambil Kursus Bakti Siswa, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan program Kempen Kesedaran Kesihatan Mental Mahasiswa 2022 secara dalam talian, baru-baru ini.
Pengarah program, Peeragalathan A/L Balamurugan berkata, tujuan utama penganjuran kempen tersebut adalah untuk memberikan pendedahan dan pemahaman kepada para mahasiswa dan mahasiswi UPM mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental terutamanya semasa negara dilanda pandemik Covid-19.
“Ramai mahasiswa yang mengalami masalah depresi sepanjang pandemik Covid-19 ini. Malah, sejak dua tahun kebelakangan ini, pembelajaran di universiti kebanyakannya diadakan secara dalam talian dan permasalahan seperti capaian internet yang kurang stabil menyebakan mereka kurang fokus semasa pembelajaran dan ini menyebabkan masing-masing mengalami tekanan,” katanya.
Baca juga
Pelajar IPT bekerja sambilan, tampung kos pengajian atau penuhi keinginan diri?
“Saya kerja sambilan kerana perlukan dana tambahan, golongan B40” – Nadia
Sepanjang program berlangsung, beberapa aktiviti turut diadakan seperti aktiviti bual bicara ‘Webinar Kesihatan Mental: You’re not alone’ bersama pakar psikologi dan kaunseling.
Webinar tersebut telah menampilkan Pegawai Psikologi di Hospital Pengajar UPM, Rafidah Sadaruddin dan pakar dalam bidang Klinikal Psikologi, Dr Siti Irma Fadhilah Ismail sebagai penceramah.
Sementara itu, salah seorang peserta, Muhammad Nizar Abdul Halim berkata, melalui program berkenaan, dia dapat mengetahui cara penjagaan kesihatan mental dengan lebih terperinci lagi sekaligus membantunya menangani pelbagai perkara berkaitan kesihatan diri.
Dalam pada itu, program tersebut turut mendapat sokongan Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Profesor Madya Dr Siti Suriawati Isa, yang turut hadir merasmikan majlis penutupan program.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Katanya, program sebegini merupakan satu usaha murni yang telah dirancang oleh pelajar dalam memenuhi tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan menyahut seruan moto UPM iaitu ‘Berilmu dan Berbakti’.
“UPM sentiasa menyokong penuh penganjuran program seumpama ini dan turut menitikberatkan kesihatan mental dalam kalangan pelajar dengan menyediakan bantuan khidmat kaunselor kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Terdahulu, mahasiswa yang terlibat dengan program itu telah mengedarkan paket makanan ‘food bank’ kepada para pelajar memerlukan di sekitar UPM yang disumbangkan oleh orang ramai, Yakult (Malaysia) Sdn Bhd dan Mondelēz Malaysia Sales Sdn Bhd melalui Food Aid Foundation.