Program Penjana KPT-CAP, 19 lepasan Polimas terima tawaran kerja
Seramai 19 lepasan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kedah (Polimas) telah ditawarkan pekerjaan melalui Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang diadakan di CG Global Profastex Sdn Bhd, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Program yang lebih dikenali sebagai Penjana KPT-CAP itu membabitkan jalinan kerjasama antara Polimas dan CG Global Profastex Sdn Bhd.
Menerusi kerjasama itu, graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik serta Kejuruteraan Elektronik (Perhubungan) ditempatkan di syarikat berkenaan selama satu minggu untuk menjalani latihan kompetensi.
Pengarah Polimas, Kamaludin Daud berkata, tujuan utama program tersebut diadakan adalah untuk memastikan graduan Polimas mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
Berikutan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada syarikat berkenaan kerana berjaya melatih graduannya seterusnya menawarkan peluang pekerjaan.
“Polimas merupakan satu daripada politeknik dan kolej komuniti dari seluruh negara yang dipilih sebagai penganjur bagi mengendalikan Program Penjana KPT-CAP ini.
“Saya yakin syarikat ini akan membantu graduan mendapatkan kemahiran dan pengetahuan selaras dengan kehendak industri.
“Graduan juga perlu membantu diri sendiri dengan memberikan perkhidmatan terbaik di tempat kerja nanti,” katanya pada majlis penutup program tersebut.
Turut hadir, Pengarah Urusan CG Global Profastek Manufacturing Sdn Bhd, Siti Padilah Abdul Wahab dan Penasihat Pembangunan Perniagaan dan Korporatnya, Henry Ng.
Sementara itu, wakil Program Penjana KPT-CAP, Muhammad Alim Firdaus Badrul Zaman berkata, mereka sangat bersyukur kerana dapat mengikuti program berkenaan.
“Kami berterima kasih kepada CG Global Profastex Sdn Bhd yang berbesar hati menawarkan pekerjaan kepada semua peserta dengan gaji permulaan sebanyak RM1,800 .
“Program ini juga menunjukkan graduan TVET semakin diterima dipasaran kerana mempunyai gabungan kemahiran dan pengetahuan selaras kehendak industri,” katanya.
Artikel berkaitan
Kadar kebolehpasaran graduan TVET KPLB melebihi paras nasional
Azizah: 90 peratus siswazah TVET MARA, bekerja dalam tempoh 6 bulan
Usaha perkasakan TVET negara, jalin kerjasama dengan universiti di Jerman