qc
qc

Azizah: 90 peratus siswazah TVET MARA, bekerja dalam tempoh 6 bulan

Rasyidah Zulkifi
18 Jul 2022 09:34am
A
A
A

Walaupun berbeza dari segi nama dan tahap latihan, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan MARA Japan Industrial Institute (MJII) sebenarnya bernaung di bawah satu agensi yang sama iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Berpengalaman lebih dari 50 tahun dalam bidang kemahiran dengan tertubuhnya IKM Jasin, Melaka pada 1968 merupakan satu kekuatan untuk TVET MARA melahirkan lebih ramai tenaga mahir pada masa hadapan sejajar dengan keperluan industri.

Pengerusinya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, kejayaan yang dicapai TVET MARA adalah hasil rangkuman kerjasama berpasukan.

“Kami sentiasa berusaha mengemukakan idea-idea sama ada dari segi penawaran kursus baharu, kaedah atau sistem penyampaian yang bersesuaian dengan kehendak masyarakat.

Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

“Melaluinya terdapat strategi-strategi yang digariskan dan beberapa program baharu yang mempunyai keunikan tersendiri telah dibangunkan dalam pelbagai bidang teknikal seperti reka bentuk dan pengeluaran perabot, elektrikal, penyejukbekuan dan penyamanan udara, upholstri dan sebagainya.

“Kaedah pembelajaran dalam sistem TVET MARA juga unik di mana kami menyasarkan untuk melahirkan usahawan teknikal dan hasilnya ramai pelajar telah berjaya mencatat jualan sehingga mencecah jutaan ringgit,” ujarnya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Tambah beliau, TVET MARA turut memperkenalkan kursus dengan pendekatan baharu secara usaha sama bersama pihak industri.

“Antara faktor utama yang menarik minat pelajar bagi menyertai program TVET adalah trend masyarakat sekarang yang sudah berubah di mana mereka berpendapat dengan menyambung pengajian dalam program ini dapat menjamin pekerjaan kelak.

“Berbanding dengan cara konvensional dahulu, pelajar akan mencari pekerjaan selepas tamat pengajian, tetapi melalui TVET MARA, kami sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada mereka dengan menyediakan pekerjaan sebelum menjalani latihan melalui program kerjasama industri,” tuturnya yang menjamin kadar kebolehpasaran TVET MARA melebihi daripada 90 peratus.

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, beliau berkata, TVET MARA menerapkan pendidikan dan latihan yang berasaskan industri (Industry Based Education and Training – IBET) di mana pengajaran dan pembelajaran sentiasa relevan dan bersifat dinamik serta diiktiraf oleh industri.

“TVET MARA sentiasa berusaha untuk memastikan pelajar mendapat pensijilan tambahan yang bernilai tinggi serta menambah baik keperluan latihan bagi memastikan kualiti graduan mencapai standard industri.

“Latihan yang disediakan kepada mereka bukan sahaja untuk bekerja selepas tamat pengajian, bahkan berpeluang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di universiti sama ada di dalam atau luar negara,” jelasnya.

Kursus-kursus yang ditawarkan

Azizah berkata, kesemua kursus yang ditawarkan di TVET MARA mendapat permintaan tinggi daripada majikan dan mempunyai kelebihan tersendiri.

Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta, jadi ia perlu dilihat dalam aspek kefahaman masyarakat tentang kepentingan teknologi terkini yang sedang menembusi sektor industri.

“TVET MARA berusaha melipatgandakan usaha dalam meningkatkan promosi latihan bertujuan memberikan lebih kefahaman kepada masyarakat berkaitan bidang teknikal yang ditawarkan.

Pelajar Diploma Biomedikal KKTM Ledang, Johor sedang membuat kalibrasi terhadap penimbang berat.

“12 kursus pengajian yang ditawarkan di TVET MARA melalui KKTM, MJII dan IKM ialah automotif, seni dan rekaan, kejuruteraan bioperubatan, bioteknologi, pembinaan persekitaran, kejuruteraan awam, elektrikal, pembuatan, elektronik, pemprosesan

bahan, perkhidmatan mekanikal serta minyak dan gas.

“Selain itu, TVET MARA juga menawarkan kursus baharu berasaskan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) seperti Internet of Thing (IOT), perkomputeran awam, keselamatan siber serta robotik dan automasi,” tambahnya.

Kemasukan pelajar baharu

Berbicara mengenai kemasukan pelajar baharu pula, katanya, pengambilan di KKTM, MJII dan IKM akan diadakan melalui dua sesi kemasukan iaitu pada bulan Januari dan Julai dengan kuota seramai 6,000 pelajar untuk peringkat sijil dan diploma.

Pelajar menjalani latihan pemeriksaan kualiti imej untuk alat ultrasound bagi mengesahkan peralatan dalam keadaan yang optimum.

“Calon yang bertaraf bumiputera boleh memohon melalui laman sesawang www.tvetmara.edu.my atau UPUOnline dan boleh hadir ke mana-mana kampus TVET MARA untuk mendapatkan penerangan dan mengemukakan terus permohonan.

“Selain itu, permohonan juga boleh dibuat melalui laman sesawang TVET MARA tanpa memerlukan sebarang pembelian nombor pin.

“Bagi program lanjutan peningkatan kerjaya, kami sangat mengalu-alukan lulusan Institut Kemahiran Awam/Swasta (ILKA/ILKS) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) untuk menyambung pengajian dalam bidang-bidang teknikal yang bersesuaian di TVET MARA,” jelasnya yang menyarankan pelajar untuk mendapatkan maklumat lanjut di pejabat MARA daerah dan negeri yang terdekat.

Artikel berkaitan

Usaha perkasakan TVET negara, jalin kerjasama dengan universiti di Jerman

Program TVET Junior akan diperkenalkan, tarik pelajar minat bidang kemahiran  

Siswazah Malaysia kongsi 13 tip peperiksaan di Universiti Al-Azhar, Mesir

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok