Kadar kebolehpasaran graduan TVET KPLB melebihi paras nasional

Adlan Farhan Azwan
16 Aug 2022 03:49pm
A
A
A

Kadar kebolehpasaran graduan Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) (TVET@KPLB) telah melebihi paras standard nasional yang ditetapkan.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, purata kadar kebolehpasaran graduan bagi seluruh institusi pendidikan TVET@KPLB kini mencapai 87.67 peratus, manakala kadar kebolehpasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) nasional yang ditetapkan adalah 86.7 peratus yang perlu dicapai pada 2025.

“Kadar kebolehpasaran yang melebihi paras standard nasional ini secara tidak langsung mencerminkan pendidikan TVET yang dibekalkan oleh institusi TVET di KPLB berupaya menyediakan kebolehkerjaan dan laluan kerjaya yang cerah kepada para graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Azhar Ahmad yang meminta beliau menjelaskan keberkesanan pendidikan TVET di KPLB dari aspek kebolehpasaran graduan serta sumbangan kepada pembangunan negara dan melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi.

Dalam pada itu, Mahdzir juga berkata, pelajar TVET aras tinggi telah dilengkapkan dengan lesen profesional yang diiktiraf antarabangsa dan membolehkan mereka mendapat pekerjaan di peringkat global.

Tambahnya, institusi TVET juga giat menerapkan aplikasi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) seperti internet pelbagai benda (IoT), kecerdasan buatan dan sekuriti siber dalam program-program yang ditawarkan.

“Sehubungan itu, semua inisiatif yang dirancang oleh institusi TVET di bawah kementerian berupaya meningkatkan lagi keberkesanan pendidikan dan ekosistem TVET secara keseluruhannya dalam memartabatkan TVET dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara yang berpendapatan tinggi dan berdaya saing,” jelas beliau.

Artikel berkaitan

TVET ILJTM: 9,000 kemasukan pelajar baharu, jamin 90 peratus kebolehkerjaan siswazah

Pelajar aliran vokasional bakal penuhi keperluan industri

581 pelajar sekolah diberi pendedahan keusahawanan melalui STEM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok