ROSLI-BIDAYUH-SINARBESTARI-2022
ROSLI-BIDAYUH-SINARBESTARI-2022

Rosli mahu masyarakat hargai warisan budaya, pilih dokumentari kepupusan budaya wanita Bidayuh gelang tembaga

nadzarul.amir
27 Dec 2022 05:09pm
A
A
A

Sarawak menempatkan lebih 40 kaum dan etnik yang hidup dengan penuh harmoni dengan pelbagai budaya serta adat resam tersendiri.

Selain Iban, Melayu, Melanau, Lun Bawang dan Kenyah, Bumi Kenyalang terkenal dengan etnik Bidayuh.

Dalam bahasa Bidayuh, ‘Bi’ membawa maksud ‘orang’ manakala ‘Dayuh’ pula ‘Darat’.

Oleh itu, Bidayuh bermaksud ‘Orang Darat’ dan dikenali sebagai Dayak Darat oleh orang Eropah pada masa dahulu untuk membezakan mereka daripada masyarakat Iban (Dayak Laut).

Bagi Dayak Laut pula, perkataan ‘Laut’ digunakan disebabkan mereka sudah pandai menggunakan perahu walaupun tinggal di pedalaman.

Tidak seperti orang Bidayuh, mereka tiada kemahiran menggunakan perahu semasa kedatangan orang Eropah.

Graduan Sarjana Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Rosli Mohd Nordin yang tertarik dengan warisan budaya masyarakat Bidayuh telah memilih subjek tersebut sebagai kajian untuk diterbitkan sebagai sebuah dokumentari.

Katanya, ia bagi memenuhi keperluan pengajian pengajian peringkat Sarjana Media di Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi sekali gus memberi pendedahan kepada masyarakat agar menghargai warisan budaya.

“Etnik Bidayuh boleh dibahagikan kepada lima pecahan iaitu etnik Selakau atau Lara yang mendiami daerah Lundu, etnik Jagoi atau Singai tinggal di daerah Bau dan etnik Biatah pula menetap di daerah Kecil Padawan.

“Kebanyakkan yang bermastautin di daerah Serian pula merupakan etnik Bukar atau Sadong manakala etnik Bidayuh Kuching Tengah atau lebih dikenali sebagai Bidayuh Baru atau Bidayuh Moden menetap di kawasan tengah antara Padawan dan Bau di Kuching,” ujarnya.

Dia menjelaskan, keunikan etnik Bidayuh tidak sahaja kaya dengan pelbagai warisan budaya melibatkan adat perkahwinan, bahasa, pakaian, pantang larang dan kepercayaan tetapi budaya memakai gelang tembaga di kaki serta tangan para wanita etnik berkenaan pasti mencuri tumpuan khalayak.

Rosli menambah, pemakaian gelang tembaga di tangan yang dikenali sebagai ruyang dan perhiasan kaki dipanggil rasung sering dikaitkan dengan nilai kecantikan serta status kekayaan wanita Bidayuh kini berdepan kepupusan.

“Budaya yang dikatakan mencecah usia lebih 400 tahun ini, pernah menjadi aksesori wajib untuk setiap wanita Bidayuh sehingga jumlah pemakainya mencecah ribuan orang.

“Begitupun, kini hanya terdapat lima orang sahaja wanita Bidayuh di Kampung Semban Bengoh di Siburan (Sarawak) yang masih setia dengan budaya tersebut,” katanya.

Mereka ialah Singai Nekan yang berusia 73 tahun, Anet@Anat Umgom, 49; Tawud Luhan, 78; Dashin Ngarong, 62 dan Peluk Ubeh, 69.

Pantang Larang

Bercerita lebih lanjut mengenai penerbitan dokumentari tersebut, Rosli menjelaskan, dia mengetengahkan pelbagai elemen budaya warisan orang Bidayuh yang jarang diketengahkan untuk tatapan umum.

“Setiap warisan budaya tidak mengira etnik dan bangsa, pasti mempunyai pantang larang tersendiri, begitu juga dengan budaya pemakaian gelang tembaga ini dalam kalangan wanita Bidayuh.

“Antaranya, pemakai harus memberi upah kepada individu yang melakukan lilitan gelang tembaga dengan dua bungkus nasi serta lauk yang tidak masin,” tuturnya lanjut.

Rosli yang menerima Ijazah Sarjana Pengajian Media pada 5 Disember lalu menjelaskan, antara lauk yang sering menjadi pilihan ialah asam ikan dan lauk asam babi.

Pada zaman sekarang, dua bungkus nasi tersebut boleh digantikan dengan wang.

Sekiranya pantang larang ini tidak dipatuhi, dia memberitahu, pemakai gelang akan merasa tidak selesa dan sukar bagi wanita tersebut serasi memakai gelang tersebut bagi tempoh yang panjang.

Generasi Muda Sukar Beradaptasi Pemakaian Gelang Tembaga

“Terdapat pelbagai faktor menjadi penyumbang kepada hilangnya populariti budaya memakai gelang tembaga tersebut dalam kalangan wanita Bidayuh.

“Majoriti wanita Bidayuh ‘wajib’ memakai gelang tersebut seawal usia enam tahun tetapi apabila kehidupan semakin moden ramai yang tidak mengamalkannya,” ujarnya yang menjalankan pengambaran selama enam hari di Kuching, Sarawak.

Dalam pada itu, Anat yang mula memakai gelang tembaga seawal usia 10 tahun memberitahu, ramai tidak mahu memakainya kerana merasakan ia menyakitkan, membataskan pergerakan dan aktiviti fizikal seharian.

“Gelang tembaga berkenaan juga perlu dicuci menggunakan daun. Bagi generasi muda wanita Bidayuh yang terdedah dengan kehidupan moden ia merupakan satu ritual yang menyukarkan.

“Golongan muda tidak mahu memakainya apatah anak-anak dan cucu-cucu kami sekarang,” jelasnya.

Generasi wanita Bidayuh yang memakai gelang tembaga paling tua dalam kumpulan terakhir itu, Tawud pula berkata, ketebalan dawai tembaga yang dipakai di kaki dan tangan adalah berbeza.

Jelasnya, dawai tembaga yang tebal kebiasaannya digunakan untuk membuat gelang di bahagian kaki manakala dawai tembaga lebih nipis di bahagian lengan.

“Sebelum memulakan proses melilit gelang dawai pada kaki dan lengan, dawai yang baru dibeli akan dipanaskan dengan bara api selama beberapa minit bagi memudahkan proses melentur.

“Ia akan diletakkan di dalam air sebelum dicuci dengan menggunakan air campuran perahan limau nipis.

“Proses melilitnya pula mengambil masa sehari suntuk dan proses pemakaian gelang tembaga perlu dilakukan secara perlahan-lahan supaya ia tampak cantik serta kemas,” terang Tawud.

Artikel berkaitan

Shakira Onie, juara cilik tanpa kasut dari pedalaman Sarawak

Negara kehilangan graduan perubatan UM terbaik setiap tahun

Alumni UK platform global hubungkan graduan luar negara


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok