UMS-E-PEMBELAJARAN-SINARBESTARI-2022
UMS-E-PEMBELAJARAN-SINARBESTARI-2022

Sistem e-pembelajaran perkasa ekosistem universiti

nadzarul.amir
23 Dec 2022 05:24pm
A
A
A

Sistem e-pembelajaran memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat kepada para pelajar terutama apabila negara berdepan pandemik Covid-19 baru-baru ini.

Bahkan, pendekatan baharu tersebut dijangka akan merubah landskap pengajian pendidikan tinggi dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Menyedari kepentingan tersebut, Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat E-Pembelajaran (PEP) giat memperkasakan sistem e-pembelajaran dalam ekosistem universiti sebagai usaha memastikan pendidikan inklusif dan berkualiti tinggi dapat dicapai semua golongan masyarakat melalui pembelajaran sepanjang hayat.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, ia sejajar dengan misi UMS dalam membantu perkembangan intelektual, sosial dan ekonomi pemegang taruh UMS iaitu para pelajar dengan memupuk persekitaran pengalaman pengajaran serta pembelajaran terbaik.

“Usaha ini dicapai dengan melengkapkan warga kerja universiti segala pengetahuan dan pengalaman tentang kemudahan teknologi terkini.

“Sebagai contoh, Sistem SmartV3 UMS terbukti menjadi tunjang kepada ekosistem pembelajaran teradun ketika pandemik apabila bertindak sebagai platform interaksi di antara pensyarah dan pelajar sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Majlis Perasmian Simposium Pembelajaran Teradun Gantian dan Pelancaran ITEL (Interactive, Innovative, Technology-Enable Learning) 4.0 di Galeri Majlis, UMS, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr Rasid Mail.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sijil Pencapaian 5 Bintang dalam Pembelajaran Teradun kepada jabatan dan fakulti, sijil penghargaan kepada koordinator e-pembelajaran dan sijil Mydigital Educator 2021 kepada penerima.

Hadir sama Ketua Pustakawan UMS, Md Sazali Md Salleh; Pengarah PEP, Profesor Dr Fong Soon Fook; Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik, Dr Denis Andrew D Lajium dan Timbalan Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Effendy Hadis.

Mengulas lanjut, katanya, pelancaran ITEL merupakan naik taraf kepada sistem e-pembelajaran sedia ada dengan penambahan pelbagai ciri baru dan lebih interaktif sebagai menyokong pembelajaran pada masa akan datang.

Kasim memberitahu, UMS menyokong visi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam mempromosikan saluran pendidikan percuma dan boleh diguna semula termasuk bahan pengajaran serta pembelajaran dimuatkan dalam UMS Open Educational Resources (OER) Repository.

“UMS telah menjalinkan kerjasama dengan Commenwealth of Learning (COL) dan UNESCO bagi pelaksanaan program-program Massive Open Online Courses (MOOC) dan OER.

“Kerjasama dengan COL yang dimeterai sejak 2018 banyak memberi manfaat kepada UMS termasuk membantu dalam kajian dan merangka polisi berkaitan repositori OER serta reka bentuk dan penghasilan MOOC di UMS,” katanya.

Beliau menambah, Pembelajaran Teradun Gantian yang dilaksanakan juga adalah bagi memupuk kreativiti dengan menawarkan persekitaran pembelajaran atas talian yang lebih kondusif untuk semua.

“Justeru, saya menyeru ahli akademi dan kakitangan pentadbiran untuk menyokong pelaksanaan Pembelajaran Teradun Gantian dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di UMS.

“Platform ini akan menyokong usaha universiti dalam mendapatkan pengiktirafan global dalam bidang pengajaran dan penyelidikan,” ujar Kasim.

Artikel berkaitan 

Graduan OKU fizikal UMS tabah hadapi ujian, berjaya tamatkan pengajian

Graduan UMS bangga berpakaian etnik Murut ketika majlis konvokesyen

UMS lahir kumpulan pertama Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Minyak dan Gas


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok