F4DBBA6F-11A7-43E8-9FEF-B7E6D4AF1D94
F4DBBA6F-11A7-43E8-9FEF-B7E6D4AF1D94

UMS lahir kumpulan pertama Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Minyak dan Gas

Adlan Farhan Azwan
15 Dec 2022 11:44am
A
A
A

Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melahirkan seramai 24 graduan pertama bagi program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Minyak dan Gas pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-24 baru-baru ini.

Mereka telah menerima skrol yang disampaikan oleh Pro Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim di Dewan Canselor UMS, Sabah.

Menurut Dekan Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS, Profesor Madya Ts Dr Ismail Saad, program Kejuruteraan Minyak dan Gas UMS telah menerima seramai 150 pelajar sejak pengambilan pertama pada 2018.

“Selain program ijazah sarjana muda, FKJ UMS turut menawarkan program kejuruteraan minyak dan gas di peringkat diploma serta sarjana.

“Setakat ini, lebih 50 peratus keluaran kohot pertama program Kejuruteraan Minyak dan Gas menerima tawaran pekerjaan dari syarikat multinasional seperti PETRONAS, Sime Darby, Foxboro, Matco, Tata Consultancy dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada majlis konvokesyen tersebut.

Dalam kajian dijalankan fakulti itu, beliau memberitahu, graduan program tersebut telah menerima tawaran sejurus menamatkan pengajian di semester akhir.

“Ini menunjukkan bidang yang diceburi ini mendapat liputan meluas dalam kalangan industri dan sangat diperlukan pada masa kini,” ujarnya.

Sementara itu, seorang graduan program Kejuruteraan Minyak dan Gas UMS, Priveqa Yaashini Gopalan berkata, dia berhasrat menjadi alumni yang dapat menyumbang kembali kepada UMS dan masyarakat.

“Dengan ijazah yang saya miliki, saya dapat membantu dari segi kemahiran mahupun motivasi untuk dikongsikan kepada para pelajar program minyak dan gas di UMS.

“Saya meneruskan pengajian dalam jurusan minyak dan gas kerana ingin mengetahui bagaimana minyak diperoleh daripada pembentukan batuan, proses awal sehingga kepada tahap penjualan kepada pengguna," katanya.

Anak kelahiran Selangor itu memberitahu, penerokaan dan pengeluaran minyak menarik minatnya untuk mendalami jurusan berkenaan.

Priveqa Yaashini juga merupakan salah seorang penerima Anugerah Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) bagi tahun ini.

Anugerah BEM diberikan kepada pelajar tahun akhir prasiswazah setiap program kejuruteraan yang mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.60 ke atas serta memiliki sahsiah yang baik.

Artikel berkaitan

Graduan UMS bangga berpakaian etnik Murut ketika majlis konvokesyen

Status OKU mental bukan penghalang Nurul Yusra genggam Ijazah Sarjana Psikologi

Kerana jasanya, penerima Nobel Peace Laureate 2006 terima Ijazah Kehormat UPM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok