Untitled design (1)
Untitled design (1)

Berjaya kumpul RM21,570 untuk projek khidmat masyarakat, usaha keras 7 pelajar master UKM dipuji ramai

Roshlawaty Md Raieh
11 Aug 2022 04:33pm
A
A
A

Sekumpulan pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melahirkan rasa gembira apabila berjaya melaksanakan projek bercirikan baktisiswa dan khidmat masyarakat, baru-baru ini.

Projek yang dikenali sebagai Hope For A Child itu merupakan salah satu syarat untuk bergraduat bagi kesemua pelajar MBA berkenaan.

Seramai tujuh mahasiswa yang terlibat dalam Hope For A Child dan mereka ialah Asrul Shuhada Mohd Salleh, Rasidah Ibrahim, Raja Puteri Nurfarhah Raja Kamarulzaman, Nithia Anamaly, Roshaiza Abdullah, Nur Nabilah Md Rasid dan Minashine Devi Krishnan.

Menurut Pengarah projek, Asrul Shuhada, objektif program adalah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan anak-anak kurang bernasib baik dan mengumpul dana bagi membantu menampung keperluan asas mereka seperti pek susu, pek SmileKits dan pek BabyKits.

Tambahnya, Hope For A Child telah dirancang sejak April lalu dan pelaksanaannya melibatkan beberapa siri penyerahan barangan sumbangan yang diadakan secara berperingkat ke rumah kebajikan dan anak yatim terpilih pada Jun hingga Ogos.

Mengulas lanjut, Asrul Shuhada berkata, projek tersebut berhadapan pelbagai cabaran ketika mendapatkan sumbangan dan tajaan.

Namun demikian, dengan promosi yang berterusan di media sosial, projek ini dan peranan aktif yang dimainkan oleh semua ahli kumpulan dikenali Bright Stars UKM itu, berjalan dengan lancar.

Dalam pada itu, Asrul Shuhada menjelaskan, beberapa pihak telah bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka menerusi projek Hope For A Child ini.

Antaranya, Persatuan Buai Sayang atau Babybox Malaysia yang bersedia membantu dalam penyediaan keperluan anak-anak kecil kurang bernasib baik dengan menyumbang pek Babykits.

Manakala Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) selaku rakan strategik, turut membantu mengedarkan 288 pek susu kepada anak-anak di Tabika Perpaduan terpilih sekitar Kuala Lumpur dan Selangor serta mendapat kerjasama dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK).

Selain sumbangan individu yang disalurkan ke akaun UKM dan juga platform fundraising dalam talian, Bright Stars UKM turut menerima bantuan dari beberapa syarikat seperti Duopharma yang menyumbang vitamin dan Pasaraya Mydin yang memberi diskaun istimewa untuk pembelian barangan di pasaraya mereka.

“Secara keseluruhannya, projek ini berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM21,570 hasil keprihatinan dan sikap dermawan semua individu dan pihak yang menyumbang,” ujarnya.

Acara kemuncak Hope For A Child

Projek Hope For A Child akhirnya berjaya mencapai objektif.

Justeru, acara kemuncak, penyerahan sebahagian lagi sumbangan telah dilakukan di SBJK, baru-baru ini.

Seramai 143 murid berumur antara 4 hingga 18 tahun telah menerima pek susu dan set Smilekits yang mengandungi beg sekolah, alat tulis, botol air dan vitamin setiap seorang.

Malah, sumbangan wang tunai sebanyak RM500 juga turut diagihkan kepada Tabung Kebajikan SBJK bagi menampung keperluan membiayai aktiviti kebajikan anak-anak didik di situ.

Sementara itu, Penyelia projek Hope For A Child, Profesor Madya Dr Fazli Idris berkata, segala bentuk sumbangan itu adalah untuk meringankan beban persekolahan murid-murid SBJK.

“Diharapkan pemberian ini dapat menggembirakan hati semua,” katanya selepas berakhir acara penyerahan barangan di SBJK.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah, Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Rosniza Hussin yang mewakili Pengarah Pendidikan JPWPKL; Pengarah JPNIN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Beh Sang How; Naib Pengerusi Persatuan Buai Sayang (Baby Box Malaysia), Siti Suhana Shuhaimi dan Wan Noraini Wan Ahmad yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) daerah Keramat, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Penolong Kanan 1 SBJK, Md Zafrol Abdullah memberitahu, pihaknya sangat berbesar hati dengan pemilihan murid-murid SBJK sebagai penerima sumbangan.

“SBJK sedikit berbeza dengan sekolah lain di Malaysia.

“Murid-muridnya merupakan kanak-kanak jalanan, kanak-kanak terpinggir, kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri atau kanak-kanak yatim piatu yang tinggal di bawah pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar.

"Oleh itu, dengan sumbangan sebegini, sudah tentulah akan menceriakan hati mereka,” ujar Cikgu Md Zafrol.

Artikel berkaitan 

Nur Asyiqin dinobat penerima Anugerah Naib Canselor UKM. Tak sangka ini rahsia yang dia kongsikan!

UKM perkenal Menu Siswa Keluarga Malaysia, sokong inisiatif dilaksanakan KPT

Berjaya genggam ijazah walau serba kekurangan, semangat Mahavithia buat ramai kagum! 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok