andrew-bersama-ibu
andrew-bersama-ibu

Hadiri konvokesyen berbaju Melayu, graduan Harvard bangga jadi anak Malaysia

Adlan Farhan Azwan
27 Jun 2022 02:00pm
A
A
A

Bangga menjadi anak Malaysia. Itulah perasaan yang digambarkan oleh graduan Harvard, Andrew Loh, 35, yang memperagakan baju Melayu semasa menghadiri majlis konvokesyennya, baru-baru ini.

Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk berpakaian baju Melayu ketika menghadiri konvokesyen tersebut kerana universiti tersebut menghargai nilai kepelbagaian mengikut kewarganegaraan, etnik, jantina, agama, budaya, bahasa dan banyak lagi.

“Kami ditempatkan di sini untuk membawa pengalaman sedia ada ke dalam kelas dan seterusnya mendidik rakan sekelas dan bersaing antara satu sama lain secara sihat,” katanya kepada WeirdKaya.

Anak kelahiran Selangor, ini telah melakar sejarah tersendiri apabila menjadi rakyat Malaysia pertama yang menamatkan pengajian di dua universiti Ivy League.

Selain merupakan graduan Sarjana Pentadbiran Awam dari Harvard University, Andrew juga mengikuti pengajian dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Stanford University menerusi satu program berkembar khas.

Selain cemerlang dalam bidang akademik, dia juga fasih berbahasa asing seperti Arab dan Romania, hasil daripada penglibatannya dalam politik antarabangsa.

Tambahnya lagi, baju Melayu yang dipakainya itu telah menjadi topik perbualan dalam kalangan rakan sekelasnya dan rata-rata memuji Malaysia kerana kaya dengan sejarah dan budaya.

“Pakaian saya membuktikan bahawa pelajar Malaysia di luar negara tidak pernah melupakan asal usul mereka.

“Anak muda Malaysia sayangkan negara mereka. Kami anak Malaysia. Kami amat berbangga menjadi rakyat Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Andrew turut memberi penghormatan kepada dua wanita hebat dalam hidupnya iaitu ibu dan neneknya yang telah menjadi sumber inspirasi kepada kejayaannya hari ini.

Andrew bergambar bersama ibunya. Kredit foto: LinkedIn Andrew Loh.

“Pelbagai ujian dan rintangan semasa tempoh penjajahan Jepun telah dilalui oleh nenek dan telah menjadikan dia seorang wanita yang kuat, optimistik dan tidak pernah mengeluh.

“Ibu saya pula sudah mula bekerja sejak berumur sembilan tahun bagi membantu menyara keluarga.

“Dia menceritakan kisah-kisah ini supaya menjadi motivasi untuk saya bekerja keras dan tidak sambil lewa dengan keselesaan yang ada. Kini, ijazah yang saya perolehi adalah untuk mereka,” ujar Andrew.

Artikel berkaitan

Membanggakan! Lima pelajar Malaysia diterima masuk ke Harvard College

Tercalon dalam Sigma Xi, Ainil Asyikin setanding Albert Einstein

“Alhamdulillah, I got into Stanford", Pelajar terharu diterima masuk ke universiti idaman


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok