ainil-asyikin-princeton-2
ainil-asyikin-princeton-2

Tercalon dalam Sigma Xi, Ainil Asyikin setanding Albert Einstein

Adlan Farhan Azwan
03 Jun 2022 02:29pm
A
A
A

Satu lagi kebanggaan buat rakyat Malaysia apabila bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Ainil Asyikin Norazman berjaya meraih tempat pertama sekali gus melayakkannya untuk menerima The Donald Janssen Dike Award for Excellence in Undergraduate Research dalam kajiannya yang bertajuk ‘Automated Defect Detection: An end-to-end pipeline from data to deployment’.

Ainil Asyikin turut membawa pulang wang tunai sebanyak USD 2,000 dan seterusnya tercalon dalam Sigma Xi iaitu salah sebuah pertubuhan professional antarabangsa yang terlibat dalam pelbagai disiplin kajian sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Menurut satu kenyataan daripada MARA USA, terdapat lebih 200 penerima anugerah Nobel dunia merupakan ahli kepada Sigma Xi seperti Albert Einstein (teori relativiti), Enrico Fermi (pencipta reaktor nuklear pertama), Linus Pualing (ahli biokimia Amerika), Francis Crick (ahli biologi molekul DNA), James Watson (pakar genetik) dan John Goodenough (saintis).

Kejayaan Ainil Asyikin berada dalam pertubuhan yang sama dengan genius terkemuka dunia, Albert Einstein bermula sejak memasuki MRSM Pengkalan Chepa di mana beliau memperoleh keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) cemerlang dengan 9A+.

Meneruskan kecemerlangan dalam bidang akademik, beliau mengikuti pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal bermula Ogos 2017 di Princeton University, New Jersey, salah sebuah universiti dalam Ivy League.

Dalam pada itu, bapanya, Noorazman Mahamood berkesempatan untuk berkongsi kisah gembira itu menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, baru-baru ini.

“Hari yang dinanti-nanti telah tiba. Satu detik yang tidak boleh dilupakan untuk Ainil Asyikin Norazman di Princeton University, New Jersey. Majlis graduasi pada 22 Mei 2022.

“Alhamdulillah. Syukur kepada Tuhan. Tahniah kepada anakku kerana bergraduasi pada hari ini.

“Dalam melintasi garisan ke dunia kehidupan yang baru, sentiasa menitip doa memohon kepada-Nya agar memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat,” katanya.

Sinar Bestari ingin mengucapkan tahniah kepada Ainil Asyikin kerana telah berjaya membuktikan tiada apa yang mustahil dan berharap ia dijadikan inspirasi kepada pelajar di luar sana.

Artikel berkaitan

“Alhamdulillah, I got into Stanford” – Pelajar terharu diterima masuk ke universiti idaman

Graduan Malaysia gondol pingat akademik tertinggi di Amerika Syarikat, raih keputusan ‘4 flat’ secara konsisten

Membanggakan! Lima pelajar Malaysia diterima masuk ke Harvard College


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok