Menjaga adab dengan al-Quran, guru dan pelajar boleh jadikan tip ini sebagai rujukan
Menjaga adab dengan al-Quran, guru dan pelajar boleh jadikan tip ini sebagai rujukan

Menjaga adab dengan al-Quran, warga sekolah boleh jadikan tip ini sebagai rujukan

webadmin
05 Apr 2022 04:56pm
A
A
A

Al-Quran adalah mukjizat agung yang diwahyukan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Ia menjadi sumber rujukan umat Islam sejak diturunkan sehingga hari Kiamat.

Tatkala tibanya bulan Ramadan, umat Islam seluruh dunia akan menjadikan al-Quran sebagai teman mereka setiap masa demi memperoleh rahmat dan kasih sayang Ilahi.

Meskipun demikian, kita tidak boleh mengabaikan usaha untuk memahami isi kandungan dan mengamalkannya dalam kehidupan harian kita. Pada sisi lain, bagi menjadikan bacaan al-Quran itu berbekas kepada pembacanya, kita seharusnya melihat dari aspek adab-adab sebelum memulakan bacaan ataupun ketika sedang membacanya.

Para ulama telah menggariskan adab-adab ini berdasarkan amalan mereka sendiri ketika berinteraksi dengan al-Quran.

Berikut merupakan antara adab dan amalan yang bukan hanya mesti dipraktiskan dalam bulan Ramadan bahkan sepanjang hidup kita:

1) Memilih waktu yang sesuai

Sebaik-baik waktu ialah pada sepertiga malam iaitu waktu sahur. Waktu sahur juga merupakan waktu paling terbaik untuk memohon keampunan ALLAH SWT dengan memperbanyakkan istighfar sebagaimana yang disebut dalam surah ‘Ali Imran: 17. Kemudian disusuli dengan waktu-waktu malam, pagi dan waktu-waktu lain pada siang harinya.

2) Memilih tempat yang sesuai

Masjid contohnya adalah tempat yang sesuai untuk membaca al-Quran. Tempat tersebut mestilah jauh daripada gangguan seperti suara bising, jeritan, cakap-cakap kosong dan senda gurau serta jauh daripada kanak-kanak yang sedang bermain. Pilihan terbaik ialah membaca al-Quran di taman-taman yang indah lagi tenang dan cantik pemandangannya. Tidaklah menjadi kesalahan sekiranya membaca al-Quran di tempat yang mempunyai sedikit bising seperti dalam majlis ilmu, dalam kereta dan sebagainya.

Gambar hiasan daripada Pexels.

3) Memilih kedudukan dan posisi yang sesuai

Kedudukan yang terbaik ialah kedudukan tashahhud seperti dalam solat sambil mengadap kiblat. Kedudukan ini jelas menzahirkan sifat ‘ubudiyyah’ dan kehambaan seseorang kepada ALLAH SWT. Sekiranya penat, ubah ke posisi yang lain tetapi masih menghadap kiblat, kita boleh berada dalam apa jua kedudukan yang dikehendaki demi memberi penghormatan yang terbaik kepada kalam Ilahi.

4) Menjaga dan memelihara kebersihan luaran

Kita mestilah menjaga kebersihan diri daripada berada dalam keadaan janabah, haid dan juga nifas. Kita sangat digalakkan untuk sentiasa berada dalam keadaan berwuduk agar mudah memegang dan membaca al-Quran pada bila-bila masa. Para ulama telah menfatwakan harus bagi seseorang perempuan yang ingin membaca al-Quran untuk tujuan belajar dan mengajar semasa dalam keuzuran.

5) Menyucikan anggota badan yang terlibat semasa membaca al-Quran

Kebersihan sesuatu bekas adalah syarat utama kepada bersihnya isi dalamnya. Jadi bagaimana mungkin bacaan dan tadabbur al-Quran itu menjadi elok dan lebih baik jika mata dikotorkan dengan memandang perkara-perkara yang haram? Telinga mendengar suara-suara kemungkaran? Lidah selalu mengumpat, memfitnah, menipu dan mengejek-ejek? Bagaimana hati-hati dapat berinteraksi dengan al-Quran sedangkan ia terhijab dengan perkara-perkara syubhah dan juga syahwat serta perkara-perkara maksiat. Adakah kita telah dibinasakan dan dirosakkan oleh penyakit-penyakit riya’, ujub dan takabbur. Jadi bagaimana?

6) Datangkan niat dan keikhlasan yang sempurna hanya kepada Allah SWT.

Tinggalkan sekejap semua urusan duniawi sebelum mendampingi kalam tuhan agar ibadah yang dilakukan diterima dan diberi ganjaran yang setimpalnya. Amalan membaca al-Quran dan mentadabburnya yang dilakukan dengan ilmu dan kefahaman adalah satu rahmat dan nikmat kurniaan daripada ALLAH. Dan benarlah bahawa rahmat ALLAH itu tidak akan diturunkan ke atas hati yang penuh dengan syubhah, penipuan dan keraguan.

Gambar hiasan daripada Unsplash.

7) Selesaikan semua urusan sebelum memberi fokus kepada bacaan

Mana mungkin ayat-ayat yang dibaca dapat memberi kesan pada seseorang jika dibaca tanpa kehadiran hati umpama membaca al-Quran sambil duduk di tempat awam sambil memandang orang lain. Ataupun duduk di hadapan televisyen sambil mata merenung al-Quran, tetapi telinganya mendengar daripada televisyen tersebut. Ataupun membaca sambil menunggu makanan dihidangkan namun hatinya tidak sabar menunggu kehadiran makanan tersedia di hadapannya.

8) Hadirkan diri agar dapat merasai kekhusyukan ketika bersama dengan al-Quran

Cara untuk mendapat rasa khusyuk adalah dengan memerhatikan orang-orang soleh yang telah mendapat khusyuk.

9) Menangislah ketika sedang membaca al-Quran terutama ketika membaca ayat-ayat yang berkaitan tentang hukuman dan azab ALLAH. Contohnya seperti peristiwa-peristiwa di hari kiamat yang memberi gambaran yang sangat menakutkan. Maka cubalah menangis mengenangkan hatinya yang keras dan air matanya yang membeku susah untuk menangis yang menghalangnya daripada mendapat nikmat-nikmat ini.

Jika tidak memahami bahasa Arab, kita boleh merujuk terjemahan al-Quran dan kitab-kitab tafsir yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Dengan itu kita dapat memahami dan menjiwai setiap bacaan sehingga mampu untuk menitiskan air mata.

Maka, daripada perkongsian ini boleh dilihat banyak kesilapan kita terhadap al-Quran. Mungkin Ramadan kali ini akan menjadi sedikit istimewa berbanding sebelumnya yang mana kita berusaha memperbetulkan sikap dan adab kita ketika berinteraksi dengan al-Quran. Semoga bacaan, penghayatan dan tadabbur kita menjadi lebih baik dan menjadikan kita seorang yang berjiwa rabbani qurani.

Maklumat Penulis

Abdul Hadi Abd Aziz

Guru Bahasa Arab, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Artikel berkaitan 

Guru dinobat sebagai pemenang anugerah unggul UMT

Pengorbanan selama 10 tahun sebagai pendidik, Dr Zahiraniza kini penerima Anugerah Akademik Negara


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok