221B477D-7018-4172-A047-803977BA7115
221B477D-7018-4172-A047-803977BA7115

Status OKU mental bukan penghalang Nurul Yusra genggam Ijazah Sarjana Psikologi

Adlan Farhan Azwan
14 Dec 2022 11:51am
A
A
A

Meskipun berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) mental, Nurul Yusra Afiqah Anuar, 22, berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Psikologi dengan Kepujian (Psikologi Kanak-kanak dan Keluarga).

Dia menerima ijazah tersebut pada sidang ketiga Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-24 yang diadakan di Dewan Canselor bermula 10 hingga 12 Disember lalu.

Menurutnya, dia berbangga dengan kemampuan diri kerana berjaya menamatkan pengajian sehingga ke peringkat akhir.

"Memandangkan saya berjauhan daripada ahli keluarga, pensyarah dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antarabangsa banyak menyumbang kepada kejayaan saya pada hari ini dengan memberi sokongan sepanjang tempoh pengajian di UMS.

"Sebagai pemegang status OKU mental, cabaran yang saya sering hadapi ialah stigma masyarakat yang menganggap saya tidak kelihatan seperti seorang OKU," katanya selepas menghadiri majlis konvokesyen tersebut.

Nurul Yusra kini bertugas di Pusat Rehabilitasi OKU Mental, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, semua pesakit serta pelatih di bawah pemantauannya merupakan golongan OKU mental dan memberi ruang kepadanya memahami apa yang mereka alami.

Jelasnya, kebanyakan jenis sakit mental yang dihadapi adalah disebabkan trauma, kebimbangan (anxiety) dan tekanan.

"Saya ingin memperlihatkan kepada pesakit bahawa saya telah berjaya mengatasi masalah yang dialami itu.

"Ini kerana kebanyakan daripada golongan OKU berdepan kesukaran untuk menamatkan pengajian disebabkan masalah sakit mental dan saya bertekad ingin memulihkan semangat mereka semula," ujarnya.

Nurul Yusra yang mendapat status OKU sejak 2017 memberitahu, sepanjang tiga tahun bergelar pelajar di UMS, dia berdepan pelbagai rintangan sehingga hampir berputus asa.

"Namun, saya akan cuba sedaya upaya untuk meminta bantuan menerusi saluran yang betul.

"Setakat ini, segala tugasan pengajian diberikan oleh pensyarah telah banyak membantu untuk memahami situasi saya dan sekali gus mengaplikasikannya dalam pekerjaan," tambahnya lagi.

Artikel berkaitan

UMS rangkul 2 anugerah di Pertandingan Debat Antirasuah IPT

Muhammad Faris dan Chun An, graduan cemerlang UTHM terima Anugerah Pelajaran DiRaja

15 tahun pengajian di UPM, Mun Yee capai impian genggam ijazah sarjana


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok