UMS rangkul 2 anugerah di Pertandingan Debat Antirasuah IPT
UMS rangkul 2 anugerah di Pertandingan Debat Antirasuah IPT

UMS rangkul 2 anugerah di Pertandingan Debat Antirasuah IPT

Roshlawaty Md Raieh
20 Oct 2022 12:17pm
A
A
A

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjuarai Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2022 yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini.

UMS membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000 berserta piala pusingan, trofi dan sijil, manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang muncul sebagai naib juara menerima wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penyertaan.

Pada pertandingan tersebut, pendebat UMS, Nur Fatehah Nordie turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Pendebat Terbaik Akhir dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, trofi dan sijil.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali, debat merupakan saluran dalam menyuarakan pandangan bernas dan kritikan yang membina kepada usaha kerajaan dan SPRM dalam membanteras rasuah.

“Idea-idea para pendebat begitu penting dalam membantu kerajaan dan SPRM mencorak kanvas perjuangan antirasuah di dalam negara ini.

“Isu-isu semasa berkaitan rasuah yang seringkali dibangkitkan oleh warga maya berasaskan sumber-sumber yang tidak tepat boleh mewujudkan persepsi negatif terhadap SPRM dan kerajaan serta diharapkan persepsi ini dapat diubah dengan penganjuran program melibatkan mahasiswa,” ujarnya pada majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Akhir Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2022 di USIM.

Sebanyak 36 pasukan mewakili 16 universiti awam, empat universiti swasta, tujuh Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan sembilan pasukan dari Institusi Pendidikan MARA (IPMa) bersaing dalam pertandingan tersebut.

Sementara itu, Naib Canselor baharu UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor mengucapkan tahniah kepada pasukan debat UMS sambil menyifatkan kejayaan itu sebagai satu pencapaian membanggakan buat seluruh warga kampus.

“Kemahiran berdebat bukan sahaja mempamerkan kebolehan berkomunikasi tetapi juga menonjolkan sejauh mana seseorang itu mengetahui dengan tepat menggunakan ketajaman pemikiran mengenai sesuatu isu atau bahan perdebatan yang dibincangkan.

“Dengan kata lain, aktiviti debat adalah suatu aktiviti yang mempunyai impak tinggi kepada kematangan seseorang mahasiswa.

“Ia juga memberi insipirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk meneruskan kecemerlangan di dalam dan luar bidang akademik selain membuktikan bahawa universiti ini sentiasa melahirkan mahasiswa yang berdaya saing,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kasim memaklumkan, sebagai naib canselor baharu, beliau akan meneruskan agenda kecemerlangan universiti yang digariskan bermula daripada naib canselor pertama hingga keenam.

Menurutnya, beliau telah bersama-sama dengan semua naib canselor sebelum ini dan melalui pelbagai pencapaian yang dikecapi sejak penubuhan UMS pada 1994.

“Pengalaman ini akan saya terapkan ke dalam kepimpinan selaku naib canselor yang ketujuh untuk mempertingkatkan lagi kecemerlangan UMS di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Keutamaan akan diberikan kepada hal-hal yang berkaitan dengan tugas-tugas utama sebagai ahli akademik iaitu mempertingkatkan penyelidikan yang berimpak tinggi,” katanya pada Majlis Serah Tugas Naib Canselor UMS di Dewan Bankuasi, UMS.

Kasim (kiri) menerima nota serah tugas daripada Taufiq (dua dari kanan) sambil disaksikan Nurlaila (dua dari kiri) dan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar (tepi kanan).

Penyerahan tugas itu melibatkan mantan Naib Canselor keenam, Profesor Datuk ChM Ts Dr Taufiq Yap Yun Hin kepada Kasim sambil disaksikan Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datin Nurlaila Said mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan.

Hadir sama, Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMS serta pegawai-pegawai utama dan kanan universiti.

Menurut Kasim, antara perancangan yang akan datang termasuklah meningkatkan geran penyelidikan bukan hanya dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tetapi juga dari kalangan pihak industri dalam dan luar negara.

“Sebagai universiti komprehensif, penyelidikan UMS akan merangkumi pelbagai aspek termasuk isu-isu kemiskinan, kebudayaan, sains marin, perhutanan, pertanian, bioteknologi, minyak dan gas serta bidang-bidang lain yang berkaitan.

“Kita mempunyai lebih seribu kakitangan akademik yang mahir dalam pelbagai bidang, justeru kita ingin memaksimumkan sumber yang kita ada.

“UMS juga sentiasa bersedia untuk menyumbang dari segi kepakaran, penyelidikan dan buah fikiran kepada negara khususnya kepada negeri Sabah,” tuturnya.

Artikel berkaitan 

6 kepentingan portal pekerjaan kepada bakal graduan

UMS terima 4,576 pelajar baharu sesi 2022/2023

Guru besar, pengetua harus beri perhatian serius kesalahan salah guna kuasa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok