ALUMNI KPM 1972
ALUMNI KPM 1972

Sumbangan alumni Kolej Pertanian Malaya 1972, tanda prihatin UPM kepada pelajar

Adlan Farhan Azwan
14 Jul 2022 12:03pm
A
A
A

Dalam misi membawa Universiti Putra Malaysia (UPM) menuju mercu kejayaan di peringkat yang lebih tinggi, hampir RM 59,000 akan disumbangkan menerusi pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar UPM dalam kalangan asnaf, keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) dan orang kurang upaya (OKU).

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Pengerusi Alumni Kolej Pertanian Malaysia (KPM) 1972, Tengku Syarif Laksamana Perlis Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail kepada Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas KPM 1972, yang diadakan baru-baru ini.

Menurut Mohd Roslan, sumbangan ini adalah satu amanah besar dan juga bukti alumni UPM memainkan peranan penting dalam membawa universiti itu ke peringkat yang lebih baik.

“Saya menyeru lebih ramai lagi alumni di luar sana agar kembali ke alma mater untuk sama-sama menjayakan visi dan misi universiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Razlan bersama barisan pengurusan UPM.

Selain itu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Profesor Madya Dr Arba’ie Sujud berkata, ini adalah satu tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh para alumni untuk diuruskan dengan sebaiknya.

Tambahnya, sumbangan ini adalah satu penghargaan yang besar oleh alumni kepada alma mater dan secara tidak langsung menunjukkan kebersamaan alumni dalam setiap langkah melangkah menuju Al-Falah.

“Malah, dalam naratif Naib Canselor 2022 juga ada menyatakan ‘Melibatsama Alumni untuk Kelangsungan Universiti’ adalah satu perkara penting dan boleh membawa universiti ke tahap kejayaan bukan sahaja di dalam negara tetapi juga pada peringkat antarabangsa.

“Sumbangan hari ini juga menunjukkan satu kerjasama erat antara alumni dan universiti yang telah membuka ruang luas untuk membantu para pelajar berpotensi besar namun tidak berkemampuan.

“Dengan sumbangan sebegini, pastinya ia menjadi satu titik tolak meneroka peluang besar untuk sama-sama berjuang menuntut ilmu dan seterusnya meraih kejayaan,” ujarnya.

Para almuni KPM 1972 bergambar bagi merakamkan kenangan semasa Majlis Jamuan Perdana Jubli Emas Alumni KPM 1972.

Pada masa yang sama, beliau juga berkesempatan untuk mengucapkan selamat kembali ke kampus UPM kepada seluruh alumni KPM 1972.

“Kami dengan penuh kesyukuran, menghulur salam, menyambut mesra alumni KPM 1972 ke alma mater untuk melihat dan mengambil maklum mengenai perkembangan dan revolusi yang telah dicapai oleh UPM dalam pelbagai aspek dan bidang,” jelasnya.

Sebelum ini, pelbagai usaha alumni menerusi pemberian biasiswa sudah ditubuhkan dan diserahkan kepada pelajar yang memenuhi kriteria serta syarat yang ditetapkan.

Antaranya ialah Chapter AgriSc94, Chapter Alumni Jabatan Pemajuan Profesional Dan Pendidikan Lanjutan(JPPPL), Yayasan Pak Rasyid dan banyak lagi.

Artikel berkaitan

3 murid terharu guru datang ke rumah beri sumbangan, hanya doa mampu diberikan untukmu cikgu

Inisiatif WEZAS UPSI salur bantuan RM1.2 juta kepada pelajar B40

Terima kasih beri peluang sambung belajar, luah siswazah B40


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok