UMS terima 4,576 pelajar baharu sesi 2022/2023
UMS terima 4,576 pelajar baharu sesi 2022/2023

UMS terima 4,576 pelajar baharu sesi 2022/2023

Roshlawaty Md Raieh
13 Oct 2022 09:59am
A
A
A

Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan antara universiti yang menjadi pilihan pelajar dalam menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.

Terbaharu, UMS baru sahaja menerima kemasukan pelajar seramai 4,576 orang bagi kemasukan sesi 2022/2023.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor, jumlah tersebut merangkumi 2,770 pelajar dari Sabah, 1,144 dari Semenanjung Malaysia, 582 Sarawak dan 57 Wilayah Persekutuan Labuan.

Selain itu, UMS turut menerima kemasukan 23 pelajar antarabangsa dari enam buah negara, iaitu Bangladesh, Brunei, China, Hong Kong, Jepun dan Thailand.

Ujarnya lagi, seramai 2,480 pelajar terdiri daripada keluarga B40 (merangkumi tawaran prasiswazah laluan khas UMS), lapan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), lima atlet sukan dan lapan Orang Asli turut mengikuti pengajian di UMS untuk kemasukkan kali ini.

Kasim berkata, UMS turut menjadi salah sebuah universiti perintis yang terlibat dalam Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi pengambilan pelajar kali ini.

“Program ini merupakan hasil cetusan idea Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bagi membantu pelajar khususnya individu pertama dalam keluarga golongan B40 untuk ke menara gading agar kejayaan mereka dapat dijadikan motivasi keluarga dan komuniti setempat.

“Di UMS, kami telah menawarkan 10 pelajar melalui program SULUNG ini yang mana setiap mereka turut menerima biasiswa, elaun bulanan, asrama dan pementoran sehinggalah mereka mendapat pekerjaan kelak,” ujarnya dengan menambah kesemua pelajar baharu akan tinggal di kolej kediaman dan mengikuti Minggu Suai Mesra (MSM) sehingga 14 Oktober ini sebagai persiapan bagi menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan kampus.

Dalam perkembangan lain, Kasim memaklumkan bahawa bagi mereka yang berhadapan dengan masalah yuran, kelonggaran boleh diberikan untuk menangguhkan pembayaran pada semester hadapan.

“Kami faham, masih ramai keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan kini masih dalam proses penstabilan ekonomi isi rumah.

“Bagi tujuan penangguhan bayaran, mereka boleh memaklumkan kepada Bahagian Kewangan Pelajar UMS berkenaan perkara tersebut,” jelasnya.

Artikel berkaitan

UMK terima 257 pelajar baharu program Asasi Sains sesi Akademik 2022/2023 

3 tip untuk ibu bapa praktikkan jika anak-anak lemah dalam pelajaran

Dura Adibah, pelajar UTHM raih pengiktirafan di Korea atas perkongsian keunikan budaya Malaysia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok