MK2
MK2

UniKL BMI catat sejarah bina Bangunan Tenaga Sifar Bersih pertama di Malaysia

Norliza Wasilan
08 Sep 2022 10:34am
A
A
A

UniKL British Malaysian Institute (UniKL BMI) mencatat sejarah apabila membina bangunan pertama di Malaysia berstatus Bangunan Tenaga Sifar Bersih.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, bangunan akademik tiga tingkat Kampus UniKL BMI di Gombak itu akan menghasilkan lebih banyak tenaga elektrik melalui kaedah penjimatan tenaga mapan.

“Reka bentuk bangunan tersebut juga membantu pengurangan pelepasan karbon ke udara.

“Ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk mengadaptasikan Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDGs) di Malaysia,” ujarnya selepas merasmikan Forum Tenaga Lestari dan Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Bangunan UniKL Sustainable Energy Living Lab di UniKL BMI di Gombak, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azhar Abdul Manaf dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Datuk Dr Roziah Omar.

Forum Tenaga Lestari yang dianjurkan buat julung kalinya oleh UniKL BMI bersama Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia menampilkan panel tempatan dan antarabangsa terdiri daripada pakar bidang tenaga diperbaharui dan kecekapan tenaga.

Antaranya Pengarah Kanan Smart Glass Division AGC Asia Pacific Pte Ltd, Singapura, Masayuki Hayashi; Pengarah Pembangunan Teknikal dan Fasilitasi, Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia, Ts Steve Anthony Lojuntin dan Pengarah Solar Energy Research Institute (SERI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Ts Dr Kamaruzzaman Sopian.

Turut terlibat, Pengarah Urusan IEN Consultants Sdn Bhd, Gregers Reimann dan Ketua Projek UniKL Sustainable Energy Living Lab UniKL BMI, Mohd Akram Dandu.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, UniKL BMI menerima geran RM12.5 juta untuk pembangunan modal insan di bawah program Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran berkaitan tenaga lestari.

Ujarnya, pembinaan bangunan itu adalah bagi kegunaan program Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Elektrikal (Tenaga Lestari), Sijil Kecekapan Profesional (Rekabentuk Sistem Fotovoltaik Solar) dan Pengurus Tenaga Elektrik Berdaftar di bawah Suruhanjaya Tenaga.

Selain itu, Mahdzir berkata, UniKL dijangka akan menghasilkan 1,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi yang diiktiraf antarabangsa dalam sektor tenaga lestari, tenaga diperbaharui dan kecekapan tenaga menjelang tahun 2030.

“Ia sekali gus memenuhi prospek permintaan tenaga kerja dan berkemahiran tinggi bagi industri berkaitan tenaga di Malaysia.

“UniKL juga satu-satunya universiti yang telah ditauliah Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia untuk menjalankan program Rekabentuk Sistem Fotovoltaik Solar (GCPV Systems Design)," ujarnya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa kampus UniKL Malaysia France Institute (UniKL MFI) di Bangi, Selangor turut akan menawarkan program berkaitan mikro hidro.

Menurutnya, program itu mampu menyumbang kepada pelaksanaan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar meliputi kaedah alternatif seperti solar hibrid dan mikro hidro.

“Ia termasuk program pemasangan lampu jalan dan bekalan elektrik kampung-kampung tradisional di luar kawasan operasi pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

“Oleh itu, UniKL akan memainkan peranan penting menyediakan tenaga mahir bagi sektor Tenaga dan Kecekapan Tenaga,” ujarnya lagi.

Artikel berkaitan

UniKL penuhi impian untuk belajar di Korea Selatan

Kejayaan dalam sukan pelayaran, salah satu aspek kemenjadian pelajar SMK Felda Tenggaroh

Ikon pelajar cemerlang SMT Sejingkat, duduki carta nombor 1 sekolah, terima tawaran belajar di Jepun


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok