313267714_482976397189365_2076102954634258475_n
313267714_482976397189365_2076102954634258475_n

UPSI jadi IPTA pertama lancar program 1 Pelajar 1 Pokok

Adlan Farhan Azwan
28 Oct 2022 05:27pm
A
A
A

Sebagai usaha menerapkan sifat prihatin terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjadi perintis bagi program 1 Pelajar 1 Pokok di bawah Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Bersama Pelajar IPTA yang dilancarkan baru-baru ini.

Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju, menerusi pelaksanaan program itu, pelajar akan mula menanam pokok sebagai pokok angkat dari tahun pertama pengajian di kawasan kampus IPTA masing-masing.

“Pelajar kemudiannya bertanggungjawab untuk memantau serta menyelenggara pokok yang ditanam sepanjang tempoh pengajian,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Penghijauan 100 Juta Pokok di Dewan Tuanku Canselor, UPSI, baru-baru ini.

Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok telah dilancarkan pada Januari 2021 dengan sasaran 100 juta pokok dicapai menjelang 2025.

Datuk Ali Biju memberi ucapan bagi merasmikan empen Penanaman 100 Juta Pokok Bersama Pelajar IPTA.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha negara untuk bersama negara lain di seluruh dunia bagi meningkatkan kawasan hutan dan litupan hijau.

Dalam pada itu, Ali berharap pendedahan kepada usaha mengekalkan ekosistem dan penghijauan planet dapat dihayati pelajar yang akan disampaikan kepada generasi akan datang.

Jelas beliau, program 1 Pelajar 1 Pokok akan dilaksanakan secara berperingkat dengan penglibatan lebih 20 IPTA di seluruh negara yang dikhususkan kepada kumpulan pelajar baharu.

“Program ini dirangka bertujuan menggalakkan pelajar untuk menanam pokok dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan litupan hijau.

“Setakat 25 Oktober lalu, sebanyak 46.99 juta pokok yang terdiri daripada lebih 1,000 spesies telah ditanam di pelbagai jenis kawasan antaranya kawasan hutan, tanah persendirian, perumahan dan perbandaran,” tambahnya.

Sementara itu, beliau juga berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan dan menggalakkan penglibatan pelbagai pihak termasuk warga dan pelajar IPTA di seluruh negara untuk bersama-sama menjayakan agenda penghijauan nasional di samping menerapkan kesedaran serta semangat cintakan khazanah sumber asli negara.

“Program 1 Pelajar 1 Pokok ini akan menjadi titik tolak ke arah penghijauan kampus-kampus dan pusat-pusat pendidikan di seluruh negara serta pembudayaan amalan hidup lestari dalam kalangan warganya,” ujarnya.

Artikel berkaitan

50 sukarelawan KILAU UMP tanam 400 pokok di Tasik Chini

Kesibukan mengejar PhD tidak halang Mogesh aktif sebagai sukarelawan alam sekitar

Perjuangan Cikgu Mardiana dalam amalan kitar semula wajar dicontohi ramai


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok