Wan Munadi (kiri) menyerahkan replika cek sumbangan kepada Sofiah di Melaka, baru-baru ini. v2
Wan Munadi (kiri) menyerahkan replika cek sumbangan kepada Sofiah di Melaka, baru-baru ini. v2

Anggota badan lemah akibat kemalangan, bekas pensyarah IPG terima RM5,500

Mariatul Qatiah Zakaria
04 Jul 2022 10:05am
A
A
A

MELAKA – Bekas pensyarah, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Perempuan Melayu Melaka, Sofiah Mohamed, 52, tidak pernah menyangka kemalangan yang berlaku lebih 20 tahun lalu menyebabkan pergerakannya kini terbatas.

Selain perlu menggunakan tongkat untuk memudahkan pergerakannya, ibu kepada dua cahaya mata ini juga perlu dibantu suaminya dalam melaksanakan tugas harian.

Keperitan dan penderitaan yang ditanggung Sofiah ini telah mendapat perhatian Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) apabila dia yang kini mengalami kecacatan kekal telah menerima sumbangan sebanyak RM5,500 di bawah manfaat kecacatan kekal dan hadiah persaraan.

Sumbangan tersebut merupakan manfaat diterima Sofiah yang telah mendaftar keahlian YGMB sejak 2012.

“Tidak rugi sekiranya guru-guru di luar sana mendaftar sebagai ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) kerana banyak manfaat yang boleh kita perolehi malah pendaftarannya juga mudah.

“Alhamdulillah sumbangan yang diterima ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban saya sekeluarga setelah suami berhenti kerja untuk menjaga saya. Anak-anak masih lagi bersekolah dan Insya-ALLAH dengan bantuan ini dan juga wang pencen yang diterima setiap bulan, ia akan digunakan untuk pendidikan mereka (anak-anak).

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada YGMB kerana sentiasa membantu saya dan ahli-ahli lain sekiranya dalam kesusahan,” katanya ketika ditemui pada Program  Libat Urus Kepimpinan Guru Penolong Kanan dan Setiausaha HEM bagi sekolah-sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Melaka Tengah tahun 2022 di Auditorium Kompleks Sukan, Melaka Manipal Universiti College, baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai kesakitan yang dialaminya, Sofiah yang baru sahaja bersara pada April lalu memberitahu, kini dia terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan manakala anggota badan seperti tangan dan kaki di sebelah kiri menjadi lemah.

Tuturnya, walaupun kemalangan yang berlaku telah lama, tetapi dia baru merasakan kesannya dan telah melakukan pembedahan pada tahun lalu.

“Semasa kemalangan tersebut berlaku, saya mengalami hentakan yang kuat di bahagian leher tetapi baru menjalani pembedahan tahun lalu apabila tulang leher mula menindih urat saraf.

“Dalam pembedahan tersebut, doktor telah memasukkan lapan skru di bahagian leher untuk menjarakkan tulang dengan urat saraf.

“Walaupun doktor telah menjelaskan antara risiko selepas pembedahan ialah lumpuh, tetapi Alhamdulillah saya masih lagi boleh bergerak walaupun terbatas dan segala urusan harian diambil alih suami,” ujarnya.

Sementara itu, anak kelahiran Temerloh, Pahang ini menerima sumbangan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Yang turut hadir, Penolong PPD Kanan HEM, Sektor Pembangunan Murid, PPD Melaka Tengah, Norliza Hashim dan 250 guru Penolong Kanan dan Setiausaha HEM.

Dalam pada itu, Wan Munadi berkata, menurut statistik yang direkodkan pihaknya, ramai guru yang menghidap dan juga meninggal akibat penyakit kritikal merupakan mereka yang berumur antara 35 hingga 55 tahun.

Oleh itu, beliau menyeru dan menggalakkan agar warga pendidik menjadi ahli di bawah YGMB untuk memperoleh manfaat bersama.

Artikel berkaitan

Cikgu Dinnie, guru animasi berbakat yang makin dikenali ramai

(VIDEO) Hasrat konvo tak kesampaian akibat kemalangan

3 murid terharu guru datang ke rumah beri sumbangan, hanya doa mampu diberikan untukmu cikgu

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan