Sultan Abdullah (tengah) bersama Datuk Maharaja Lela (berdiri dari kiri) serta pembesar Perak.
Sultan Abdullah (tengah) bersama Datuk Maharaja Lela (berdiri dari kiri) serta pembesar Perak.

Datuk Maharaja Lela, pejuang negeri Perak, yang dihukum gantung oleh tentera Inggeris

Rasyidah Zulkifi
30 Aug 2022 02:48pm
A
A
A

Kisah pembunuhan J.W.W. Birch oleh Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak, Perak antara kisah perjuangan kemerdekaan yang cukup terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan hari ini.

Sememangnya sudah termaktub dalam lembaran sejarah negeri Perak, ia merupakan detik bermulanya kebangkitan orang-orang Melayu di Tanah Melayu ketika itu menentang penjajah British yang dikatakan melampau batas dan tidak menghormati adat budaya orang Melayu.

Pembesar yang bertanggungjawab di atas kematian J.W.W. Birch ialah salah seorang pembesar delapan Perak, Datuk Maharaja Lela, gelaran yang diberikan kepada Pandak Lam ketika zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III.

Berketurunan Daeng Salili, anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi, Datuk Maharaja Lela selain diberi kuasa boleh memancung tanpa bertanya sesiapa, beliau juga telah dilantik sebagai mufti Perak.

Perjuangan Datuk Maharaja Lela bersama pemimpin-pemimpin lain seperti Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, Datuk Sagor dan Ngah Kandin menentang British di Perak sememangnya telah dirancang dan mendapat restu daripada Sultan Abdullah dan penduduk sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah.

Menyingkap perjuangan Datuk Maharaja Lela menentang British, mengikut kajian yang telah dilakukan, ia bermula setelah ketibaan British di Pulau Pangkor dan peranan beliau menjadi terhad akibat didominasi oleh kuasa Barat.

Melalui perjanjian Pangkor yang telah ditandatangani InfoSultan Abdullah dengan Gabenor negeri-negeri Selat pada Januari 1874, Perak dipaksa menerima seorang Residen Inggeris.

J.W.W Birch yang dilantik menjadi Residen Inggeris pertama di Perak telah menggubal beberapa dasar yang tidak disenangi oleh pemerintah dan pembesar-pembesar Melayu.

Penentangan terhadap kuasa Barat

Beliau yang menentang perubahan itu bersetuju dengan para pembesar lain untuk mengusir penjajahan Inggeris di Perak.

Mereka telah bermesyuarat di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875 yang dipengerusikan oleh Sultan Abdullah, sebelum mengambil keputusan menawarkan diri untuk membunuh Birch.

Sebagai langkah permulaan, kerani dan jurubahasa Birch iaitu Mat Arshad dibunuh kerana menyebarkan surat pengisytiharan hak memungut cukai diambil alih oleh Inggeris kepada rakyat tempatan.

Datuk Maharaja Lela kemudiannya mengarahkan penduduk kampung bersiap sedia dengan senjata seperti keris, lembing dan tombak untuk menyerang Birch dan pengikutnya sehingga ramai yang terkorban.

Dalam pertempuran itu askar upahan Inggeris yang diketuai oleh Kapten Innes dan pasukannya berundur.

Zaman kegemilangan Pandak Lam

Kemenangan di bawah pimpinan Datuk Maharaja Lela menggembirakan Sultan Abdullah, bagaimanapun Gabenor Inggeris di Singapura tidak berpuas hati dengan kekalahan itu.

Begitupun, ia tidak mematahkan semangat Datuk Maharaja Lela, malah semangat kepahlawanan tetap berkobar-kobar untuk mempertahankan Pasir Salak.

Pada 13 Januari 1876, British menawarkan ganjaran wang tunai kepada sesiapa sahaja yang berjaya menangkap Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor dan Pandak Indut.

Mereka yang diburu berundur ke Kinta kemudian ke Taiping dan menemui Raja Ismail untuk mendapatkan pertolongan.

Baginda bertitah supaya mereka meneruskan perjuangan, namun sukar direalisasikan kerana tentera Inggeris menggunakan senjata moden.

Disebabkan kekurangan dalam aspek inilah menyebabkan kepercayaan mereka goyah sehingga termakan tipu helah kerajaan British yang menawarkan pengampunan kepada sesiapa yang bersalah.

Disebabkan itu, mereka menyerah diri dan akhirnya Datuk Maharaja Lela bersama semua pengikutnya ditangkap dan dibicarakan di mahkamah yang ketika itu dipengerusikan oleh Sultan Idris I (Sultan Perak ke 28).

Beliau dan Datuk Sagor yang terlibat dengan pembunuhan J.W.W. Birch didapati bersalah dan telah dijatuhi hukuman gantung sehingga mati pada 20 Januari 1877 di Taiping.

Artikel berkaitan 

Pejuang kanser, Junita akhirnya berjaya genggam PhD 

RM2 juta bajet naik taraf sekolah agama di Kelantan 

Peluang graduan politeknik ceburi kerjaya Tentera Darat


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan