WhatsApp Image 2022-07-05 at 11.22.13 AM
WhatsApp Image 2022-07-05 at 11.22.13 AM

UPSI galak penggiat seni hiburan sambung belajar menerusi APEL Q

Adlan Farhan Azwan
05 Jul 2022 11:24am
A
A
A

Demi menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membangunkan masyarakat berpengetahuan tinggi dalam semua sektor industri di Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan pertemuan bersama penggiat seni hiburan tanah air bagi mempromosikan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, universiti itu amat mengalu-alukan penyertaan penggiat seni hiburan untuk memperkayakan pengalaman dengan meningkatkan tahap akademik menerusi Pengajian Sepanjang Hayat (PSH) yang telah diperkasakan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan diterajui Bahagian Hal Ehwal Akademik, Pusat Pembangunan Akademik serta Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI.

“Para penggiat seni hiburan merupakan permata yang amat dekat dengan jiwa masyarakat, justeru sebagai sebuah universiti yang cakna terhadap kepentingan pendidikan, UPSI mahu menjadi perintis kepada usaha ini menerusi tawaran Pengkreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL Q).

“APEL merupakan kaedah penilaian ilmu yang diperoleh daripada pengalaman kerja atau himpunan kursus pendek.

“Seterusnya, proses penilaian dilaksanakan terhadap pembelajaran terkumpul secara formal atau tidak formal,” katanya semasa sesi pertemuan itu, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Marzita Puteh.

Sementara itu, Marzita berkata, UPSI menggalakkan pengamal seni untuk melanjutkan pengajian kerana pengalaman dalam industri boleh dijadikan sebagai sumber rujukan negara.

“Terdapat empat jenis kaedah penilaian akan digunapakai dalam APEL Q berdasarkan portfolio, ujian cabaran, pengesahan kerja lapangan serta kursus batu penjuru (capstone courses).

“Penilaian-penilaian ini akan mengambil kira ilmu yang diperoleh daripada pengalaman calon pelajar untuk dianugerahkan dengan kelayakan akademik tanpa perlu melalui proses pembelajaran di kampus.

“Penilaian adalah berdasarkan kompetensi pelajar dengan hasil pembelajaran program (PLO), sekali gus membuka peluang kepada pengamal seni tempatan untuk mendapatkan kelayakan akademik berdasarkan kepakaran dan pengalaman dalam industri” jelasnya.

Dalam pada itu, Datuk Khadijah Ibrahim menyifatkan inisiatif yang dilaksanakan oleh KPT, MQA dan UPSI dinanti-nantikan oleh warga industri seni hiburan sendiri tatkala pelbagai ujian yang sering menimpa nasib penggiat seni.

“Menerusi pelbagai pengalaman dan pengiktirafan yang telah diterima, ia dapat membantu anak seni untuk mendapatkan tempat lebih baik dalam industri serta cabang-cabang lain dalam industri muzik seperti pengajar akademik.

“Pengiktirafan akademik UPSI dapat membantu melebarkan sayap anak seni ke industri antarabangsa,” ujarnya.

Pertemuan julung kalinya itu melibatkan Jawatankuasa Pengurusan Universiti, dekan-dekan fakulti dan penggiat industri hiburan tempatan antaranya penyanyi Datuk Nash, Datuk Khadijah Ibrahim, S Atan, Man Kidal, Ayai Illusi, Baggio Damasutra, Bandi Amuk, Betty Benafe, Raja Nazrin Shah SOG, Keroz Nazri, Dakmie dan Dwan Hamid.

Artikel berkaitan

Kemahiran perlu diasah, bakat semula jadi bukan sandaran utama

‘Yah Kuchai’ Kampung Pisang kini lulusan Diploma Bahasa Inggeris UPSI, berhasrat jadi pendidik

Faizul dinobat Ikon Ulul Albab UPSI, sedia galas tanggungjawab


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok