"Hargai guru bukan hanya pada 16 Mei sahaja" - Cikgu Mohamad Ali
“Duhai anak muridku, hargailah jasa seorang guru.” Begitulah harapan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Changgang, Banting, Selangor, Mohamad Ali Alimin terhadap semua murid, bersempena sambutan Hari Guru tahun ini.
Katanya, jasa dan pengorbanan seseorang guru itu sukar untuk dibalas walau dengan segunung intan.
“Tanpa usaha dan pengorbanan mereka, tidak mungkin murid atau pelajar dapat mencapai kejayaan yang cemerlang.
“Lantaran itu, wajarlah kita menghargai guru yang telah mendidik tanpa mengira masa, tenaga dan wang ringgit,” katanya kepada Sinar Bestari.
Sebagai meraikan sambutan Hari Guru 2022 yang baru sahaja diadakan pada peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) semalam, Cikgu Mohamad Ali menitipkan sedikit perkongsian untuk semua pembaca.
Semoga apa yang dinukilkan ini memberi manfaat untuk semua.
Tarikh 16 Mei setiap tahun merupakan Hari Guru. Setiap sekolah pastinya akan menyambut dengan pelbagai tema dan aktiviti yang menarik, menggambarkan keunikan insan yang bergelar guru. Sesiapa pun antara kita pasti pernah diajar oleh guru.
Sebagai membalas jasa dan pengorbanan cikgu, wajarlah kita memberi penghargaan kepada mereka.
Kebiasaannya anak-anak murid akan memberi hadiah kepada guru pada sambutan Hari Guru. Ada yang memberi kad ucapan dengan hasil tangan sendiri malah ada juga yang membuat kad ucapan gergasi berserta tanda tangan setiap murid.
Bagi sesetengah guru, kad ucapan buatan sendiri lebih berharga sehingga ada yang dijadikan koleksi kerana ia menggambarkan kesungguhan anak muridnya itu.
Tanda menghargai jasa guru tidak hanya pada sambutan Hari Guru sahaja. Mungkin kita boleh membuat kejutan iaitu menghadiahkan sebiji kek khas kepada guru apabila kita tahu tarikh lahir guru tersebut. Suapkan kek yang dipotong kepada guru tersebut. Hal ini pastinya membuatkan cikgu berasa seronok, terharu malah tidak kurang juga yang akan menitiskan air mata.
Andainya kita telah bekerja, berbincanglah dengan rakan-rakan untuk meraikan sambutan hari jadi guru yang kita sayangi di tempat yang lebih istimewa.
Apabila menjelang Hari Raya pula, berkunjunglah bersama rakan-rakan ke rumah guru masing-masing.
Amalan ini bukan sahaja sebagai tanda kita menghormati guru, tetapi juga membuktikan bahawa guru sentiasa terpahat di hati anak-anak murid. Guru-guru akan lebih seronok apabila anak-anak muridnya datang ke rumah. Lebih-lebih lagi pelajar yang telah bekerja.
Melihat kejayaan anak-anak pelajar merupakan hadiah yang paling besar kepada guru. Ini kerana kejayaan anak-anak murid juga merupakan kejayaan guru-guru.
Begitu juga apabila kita mengetahui guru sakit, maka ziarahilah mereka, bawalah buah tangan. Kedatangan pelajar akan memberi ketenangan, kegembiraan dan semangat kepada mereka. Berilah kata-kata perangsang dan doakan agar guru kita sentiasa sihat.
Selain itu jika pendidik mengadakan majlis kenduri kahwin contohnya, datanglah bersama rakan-rakan untuk membantu apa yang patut. Hal ini boleh membantu melancarkan majlis kenduri tersebut di samping mengurangkan beban guru mengemas, membersih dan sebagainya.
Sekiranya kita mengadakan majlis reunion jemputlah guru-guru yang pernah mengajar kita sebelum ini. Ini akan memastikan hubungan silaturahim bukan hanya antara rakan malahan antara guru bertambah erat.
Seterusnya, jika anda minat menulis, tulislah sebuah sajak atau gurindam khas untuk guru masing-masing. Jika anda seorang penulis, maka tulislah autobiografi atau memoir guru yang kita sayangi.
Sebenarnya banyak lagi cara untuk kita membalas jasa guru tidak hanya pada 16 Mei sahaja. Apapun guru adalah insan yang berjasa kepada semua pelajar. Walau siapa pun kita hargailah jasa dan pengorbanan seorang guru.
“Selamat Hari Guru, Terima Kasih Cikgu.”
Artikel berkaitan
Punya semangat yang luar biasa, Nor Shazlina sanggup sengkang mata demi dapatkan ijazah kedua