Media sosial medium pentaksiran alternatif yang bermanfaat
Media sosial medium pentaksiran alternatif yang bermanfaat

Media sosial medium pentaksiran alternatif yang bermanfaat

webadmin
10 Aug 2022 12:07pm
A
A
A

Sesetengah masyarakat beranggapan media sosial sebagai sebuah medium yang boleh mendatangkan kesan buruk dan memberi impak kepada kebejatan sosial sekiranya tidak digunakan dengan berhemah.

Namun begitu sekiranya media sosial dijadikan sebagai medium yang berkesan, ia akan memberikan banyak manfaat kepada kehidupan seseorang.

Pensyarah akademik Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur, Dr Hairul Faiezi Lokman menyelongkar fungsi dan peranan aplikasi media sosial terhadap bidang pendidikan dengan memberikan pemanfaatan kepada penggunaannya.

Ikuti pandangan beliau seperti yang diemelkan kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Pada 18 Mac 2020, pandemik Covid-19 telah menular di dalam negara sekaligus menyebabkan sesi perkuliahan turut digantikan dengan pembelajaran secara dalam talian.

Pada ketika itu, banyak tugasan telah dirombak dan digantikan dengan tugasan alternatif yang dapat menilai pemarkahan.

Situasi pendemik memakan masa yang lama iaitu hampir dua tahun setengah, menyebabkan kesemua pentaksiran wajar dilakukan secara dalam talian. Bagi mengatasi isu yang wujud maka pentaksiran alternatif telah dibina.

Pada peringkat awal, sebuah tugasan kempen kesedaran nilai bagi subjek GPM1083 Pendidikan Moral IPG Kampus Ilmu Khas dirancang untuk dilaksanakan secara fizikal, namun kerana pandemik perlaksanaannya telah diinovasikan. Justeru, saya telah menjadikan aplikasi media sosial sebagai satu alternatif bagi melaksanakan pentaksiran kepada pelajar.

Penggabungjalinan program kempen kesedaran amalan nilai bersama dengan pengintegrasian medium media sosial seperti aplikasi Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram dijalinkan sebagai tapak memuat naik artifak tugasan kerja kursus pelajar.

Beberapa aspek pentaksiran telah diinovasikan. Misalnya acara diadakan di dewan kampus telah digantikan dengan Facebook page sebagai dewan secara maya.

Penampalan poster di reruai yang disediakan di dewan digantikan dengan poster digital dan dimuat naik ke dalam aplikasi Facebook Page.

Sesi perkongsian info kepada pengunjung digantikan dengan aplikasi kongsi (share) di Facebook kepada pengunjung halaman media sosial.

Jemputan kepada pengunjung hadir ke dewan digantikan melalui undangan digital bagi menyertai Facebook Page dan majlis penutup yang diadakan di dewan berserta persembahan pelajar digantikan dengan melaksanakan majlis penutup secara langsung di dalam aplikasi Instagram Live. Persembahan pelajar pula turut berlintas langsung dari Kota Kinabalu, Sabah.

Walaupun penilaian ditaksir menggunakan medium media sosial, namun ia memberi banyak manfaat antaranya pentaksiran yang dilakukan dapat menepati aspek kurikulum yang telah diberikan serta boleh mengupayakan sebuah pentaksiran yang boleh digunakan oleh pendidik ketika pandemik.

Pentaksiran ini juga telah dapat membantu pelajar melaksanakan tugasan dengan kepelbagaian pendekatan alternatif yang boleh memberi manfaat selain mencapai hasrat dan matlamat tugasan alternatif melalui kaedah pentaksiran yang dilaksanakan.

Pentaksiran yang dilakukan ini juga telah dapat mengintegrasikan kemahiran Revolusi Industri 4.0 melalui pengintegrasian sistem dengan menggabungkan integrasi amalan nilai dengan rangkaian media sosial. Ia merupakan jalinan signifikan ke arah sebuah proses pembaharuan.

Melalui inovasi ini juga penggunaan teknologi maklumat adalah paling utama bagi mengintegrasi kerja amal nilai, sekaligus dapat menzahirkan data raya atau lebih dikenali sebagai ‘Big Data’ dalam kepelbagaian subjek, mata pelajaran dan penggabungjalinan beberapa subjek dalam pentaksiran.

Melalui inovasi ini segala maklumat dalam talian dapat diakses dan dicapai dengan mudah menggantikan keadaan biasa. Ia juga memberikan ruang dan peluang kepada pelajar untuk meneroka potensi dalam melaksanakan tugasan secara kreatif dan berupaya kendiri.

Bagi mengembangkan kebolehgunaan idea terhadap pentaksiran alternatif yang telah dibangunkan, satu modul dinamakan Pentaksiran Alternatif Mengintegrasi Media Sosial telah diterbitkan.

Modul ini menjadi panduan kepada para pendidik sama ada di sekolah mahupun di peringkat pengajian tinggi dalam melaksanakan pentaksiran alternatif.

Pembangunan modul ini telah memberikan satu paradigma baharu dalam membantu para pendidik melaksanakan kaedah pentaksiran yang mengintegrasikan beberapa medium media sosial.

Medium media sosial yang diterangkan dalam modul ini ialah Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube.

Penggunaan medium-medium ini memberi satu perkaedahan yang dapat digunakan oleh pendidik.

Dalam modul ini disenaraikan pengenalan terhadap aplikasi, kaedah penggunaan dan contoh pentaksiran yang telah dilakukan bagi memudahkan pembaca memahami bagaimana media sosial dapat diintegrasikan dengan bermanfaat.

Maklumat Penulis

Dr Hairul Faiezi bin Lokman merupakan Timbalan Ketua Jabatan, Jabatan Pengembangan Profesionalisme Keguruan

IPG Kampus Ilmu Khas

Artikel berkaitan 

7 ancaman internet, guru dan pelajar perlu lebih berhati-hati

Sering dihina dan dipandang rendah, Ammar kini bergelar graduan University of Manchester

3 ciri murni yang perlu diterapkan kepada guru Pendidikan Islam, ini senarai diperlukan!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan