photo-1599950833110-0d09e7f51489
photo-1599950833110-0d09e7f51489

"Saya berharap nasihat sebegini tidak diterima lagi untuk masa akan datang"

Roshlawaty Md Raieh
08 Jan 2022 10:34pm
A
A
A

Sebilangan besar guru yang berpindah sekolah menerusi eGTukar, melahirkan rasa gembira kerana dapat mengajar di sekolah yang diidamkan selama ini.

Cuma yang ralatnya apabila perpindahan itu menimbulkan isu kepada segelintir pendidik yang mungkin tidak selesa dengan kehadiran guru baharu di sekolah mereka.

Seorang pengguna Facebook yang kini seorang pendidik berkata, dia ada pengalaman sukar dilupakan berkaitan isu posting tersebut.

“Saya pernah mendapat satu nasihat yang mungkin saya anggap sebagai ‘satu nasihat yang mengejutkan’ kepada saya.

“Sungguh, saya tergaman bila diberikan kata-kata itu dan saya berharap agar nasihat sebegini tidak diterima lagi untuk masa akan datang,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang isu tersebut, Sinar Bestari kongsikan catatan pengguna ini yang ditulis sendiri menerusi akaun Facebooknya.

*****

Masa awal ditempatkan mengajar (posting) dahulu, ada rakan beritahu "Apabila 'posting' nanti, jangan tunjuk kita rajin, ringan tulang. Nanti kena buli habis-habisan."

Saya kaget, tidak mampu cakap apa-apa apabila mendengar 'nasihat' sebegitu.

Bagi saya inilah nasihat yang paling mengejutkan pernah saya dengar seumur hidup saya.

Kesan 'nasihat' sebegini menjadikan guru-guru lama dan baharu berprasangka antara satu sama lain.

Guru-guru baharu enggan tonjolkan kelebihan, kemampuan dan keupayaan mereka risau jika diperkuda, diperhamba dan dikhadamkan oleh guru-guru lama.

Guru-guru lama pula beranggapan guru-guru baharu malas, kurang komitmen, suka menolak kerja dan tidak mempunyai jiwa seorang guru.

Saya akui ada juga guru-guru yang suka mengambil kesempatan atas kemurahan hati orang lain. Namun, ingatlah ALLAH itu ada. Dia menilai seluruh kerja buat kita di dunia ini.

Tiada kehebatan, kecemerlangan dan kejayaan bagi orang yang suka menganiaya orang lain di dunia, apatah lagi di akhirat.

Bahkan ada juga yang menjadikan pepatah lama 'Masuk kandang kambing, mengembek. Masuk kandang kerbau, menguak' dan 'ikutlah resmi padi, semakin masak semakin menunduk' dan 'jangan ikut resmi jagung, semakin masak semakin meninggi' sebagai alasan untuk tidak menonjol di sekolah baharu.

Satu masalah juga berfikiran sebegini.

Kita seharusnya tahu beza antara matlamat dan sikap iaitu 'buat sehabis baik' dengan 'berlagak sombong'.

Adakah membawa perubahan ke arah kebaikan di sekolah bermaksud menzahirkan kesombongan kepada warga sekolah termasuklah kepada cikgu-cikgu lama?

Jika seseorang cikgu baharu 'perform' dalam tugasan bermaksud dia seorang yang sombong dan khianat terhadap cikgu-cikgu lama?

Jika situasi ini berlaku yang bermasalah adalah cikgu-cikgu lama kerana berpenyakit hati dan bukannya cikgu baharu yang cuba menerokai alam kecemerlangan dalam pekerjaan. Namun saya yakin tidak ramai cikgu lama bersikap sebegitu.

Janganlah jadikan kes-kes terpencil sebegini mempengaruhi falsafah hidup dan jiwa kita sepanjang bergelar seorang guru kerana nasihat sebegini hanyalah mampu menghasilkan guru-guru berjiwa dan berfikiran negatif, tidak berdaya saing, tidak berjiwa seorang guru yang baik dan tidak profesional.

Nasihat saya kepada guru-guru baharu atau bakal posting…Jangan ikut nasihat mengejutkan ini demi kejayaan diri sendiri dan masa depan pendidikan di Malaysia.

Artikel berkaitan

Penilaian dan pentaksiran bilik darjah wajib dikuasai para guru

Dulu Komander Perbarisan, kini Pegawai Kanan Polis. Tahniah Nuraida, kami bangga dengan anda!

Tidak rapat dengan cikgu? Ini 5 strategi membina hubungan positif antara guru dan murid


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan