sejarah
sejarah

Sejarah Kemerdekaan Malaysia

Mariatul Qatiah Zakaria
01 Sep 2021 12:36pm
A
A
A

Sejarah Malaysia bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi.

Pada zaman kegemilangannya, wilayah kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan pantai timur Sumatera.

Melaka muncul sebagai kerajaan gemilang kerana pemimpin berwibawa, sistem pentadbiran dan pemerintahan yang cekap serta kedudukannya strategik di titik pertemuan antara Asia Timur dengan Asia Barat.

Ilustrasi kota Melaka.

Keadaan ini membolehkan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan utama khususnya bagi perdagangan rempah di Asia Tenggara.

Islam pula muncul sebagai agama utama yang tersebar dan menjadi anutan penduduk Melaka kerana rajanya sendiri telah memeluk agama tersebut.

Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis dan bermula dari tahun inilah Tanah Melayu berada dalam era penjajahan.

Selepas itu, Tanah Melayu jatuh ke tangan Belanda pada 1641 dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda.

British telah campur tangan dalam semua urusan pentadbiran Tanah Melayu yang sebelum ini diuruskan oleh Raja-Raja Melayu dengan bantuan pembesar-pembesar negeri.

Campur tangan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan.

Beberapa individu bangkit menentang penjajah antaranya  Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Datuk Maharajalela, Rosli Dhoby dan beberapa tokoh yang lain.

Pada era 1920-an dan 1930-an, penduduk Tanah Melayu mula mendapat pendidikan di Timur Tengah atau daripada pendidikan tempatan.

Era penjajahan

Hasilnya, muncul golongan berpendidikan yang mula memperjuangkan semangat nasionalisme.

Mereka menggunakan media cetak seperti akhbar, majalah, cerpen dan novel untuk menyebarkan ideologi masing-masing.

Ada dalam kalangan mereka telah membentuk persatuan seperti Kesatuan Melayu Singapura (KMS) dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang bermatlamat mengusir penjajah dan membentuk kerajaan sendiri.

Kemaraan tentera Jepun ke Tanah Melayu pada 8 Disember 1941 hingga 15 Februari 1942 menandakan bermulanya satu lagi era penjajahan di Tanah Melayu.

Askar Jepun sedang mara di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Jepun yang menduduki Tanah Melayu sehingga tahun 1945 menyerah kalah ekoran pengeboman bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki.

Pengunduran Jepun telah memberi ruang kepada Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menguasai Tanah Melayu.

Parti Komunis Malaya (PKM) cuba untuk menguasai Tanah Melayu selepas pengunduran Jepun.

PKM telah melancarkan serangan menguasai Tanah Melayu dengan pembunuhan tiga orang pengurus ladang getah Eropah di Sungai Siput, Perak.

Lantaran itu, pada bulan Jun 1948, Sir Edward Gent telah mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu.

PKM tidak berjaya menakluki Tanah Melayu dan British kembali berkuasa. Pentadbiran Tentera British (British Military Administration) atau BMA adalah antara peristiwa akhir Perang Dunia Kedua.

Pada 1 April 1946, British menubuhkan Malayan Union. Bagaimanapun, ia mendapat tentangan daripada orang Melayu kerana penghapusan institusi diraja dan hak keistimewaan orang-orang Melayu.

Menuju kemerdekaan

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menaikkan semangat perjuangan penduduk Tanah Melayu ketika itu apabila beliau membentuk Parti Perikatan pada 1952 sekali gus membuka mata British untuk membenarkan penduduk Tanah Melayu mentadbir sendiri negaranya.

Perpaduan tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India telah menampakkan hasil apabila Perjanjian London ditandatangani pada 8 Februari 1956. Ia memberi petanda bahawa Persekutuan Tanah Melayu akan merdeka.

Sekembalinya Tunku Abdul Rahman dari London, beliau telah mengisytiharkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Padang Bandar Hilir, Melaka, pada 20 Februari 1956.

Pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman telah mencadangkan penggabungan lima buah jajahan iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei untuk membentuk sebuah negara baharu.

Pada 9 Julai 1963, wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura kecuali Brunei, berhasrat untuk membentuk sebuah negara yang dinamakan MALAYSIA tercapai pada 16 September 1963. - Sumber: Malaysia 2017 (Jabatan Penerangan Malaysia)

17 OGOS 2000, PERAYAAN BULAN KEMERDEKAAN BERMULA

Pada tahun 2000, istilah sambutan Hari Kebangsaan telah digantikan dengan nama ‘Perayaan Bulan Kemerdekaan’.

Perayaan Bulan Kemerdekaan ini telah berlangsung selama sebulan yang bermula dari 17 Ogos sehingga 16 September.

Majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan pula diadakan di Dataran Merdeka pada 17 Ogos 2000.

Acara kemuncak kepada sambutannya ialah sambutan Ambang Merdeka peringkat nasional yang diadakan pada malam 30 Ogos 2000 di Dataran Shah Alam dengan majlis penutupan sambutan Bulan Kemerdekaan diadakan di Teluk Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

“Keranamu Malaysia” telah dipilih sebagai tema Perayaan Bulan Kemerdekaan dan tema ini berterusan digunakan sehingga tahun 2005.

Tema ini mencerminkan perasaan syukur seluruh rakyat Malaysia di atas segala kemajuan yang dicapai oleh negara dalam pelbagai bidang. - ARKIB NEGARA

Artikel berkaitan

7 tip hayati kemerdekaan cara Ustaz Quszaini

Warga UTeM diseru hayati erti dan tema kemerdekaan ke-65

Jiwai kemerdekaan dengan semangat perjuangan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan