“SUTAMA dikenali bukan kerana saya seorang tetapi ia hasil kerja berpasukan”
“SUTAMA dikenali bukan kerana saya seorang tetapi ia hasil kerja berpasukan”

“SUTAMA dikenali bukan kerana saya seorang tetapi ia hasil kerja berpasukan”

Roshlawaty Md Raieh
23 Jun 2022 11:42am
A
A
A

Berbicara tentang Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor atau SUTAMA, sudah pasti barisan pendidik di Malaysia melahirkan rasa kagum di atas setiap pencapaian, anugerah dan kejayaan yang diraihnya.

Setiap tahun, pasti ada puluhan anugerah yang akan dibolot SUTAMA, sama ada peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.

Disebalik kejayaan itu, sudah tentu ada seseorang yang sentiasa memberi komitmen yang luar biasa terhadap sekolah tersebut.

Beliau yang dimaksudkan adalah Pengetua Cemerlang, Cikgu Noor Hayati Embong.

Beliau yang baru sahaja dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Khas Pendidikan Kepimpinan (Menengah) Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-51 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), baru-baru ini berkata, kejayaan tersebut tidak mungkin dirangkul sekiranya tiada kerjasama semua pihak.

“Kejayaan ini adalah hasil pembudayaan kerja berpasukan, dedikasi dan motivasi berterusan yang akhirnya mewujudkan suasana kerja serta belajar yang menyeronokkan.

“Keseronokan ini menjadi sinergi kepada semua warga SUTAMA untuk sentiasa kreatif dan inovatif dalam mempamerkan prestasi yang cemerlang. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai ini menjadikan SUTAMA mencipta kecemerlangan dalam kelasnya yang tersendiri,” katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Ditanya mengenai perasaan ketika menerima anugerah tersebut, anak kelahiran Kemaman, Terengganu ini berkata, perasaannya bercampur baur antara gembira dan sebak.

“Saya gembira kerana segala usaha keras yang warga SUTAMA lakukan membuahkan hasil.

“Anugerah ini bukan untuk saya seorang tetapi untuk semua orang yang sentiasa menyokong dalam pelbagai aspek,” jelasnya.

Mengimbau memori ketika melangkah ke SUTAMA sebagai pengetua, Cikgu Noor Hayati sudah menyedari yang dirinya akan berhadapan dengan pelbagai cabaran besar.

“Bilangan pelajar di SUTAMA hampir mencecah 4,000 orang dan guru yang ramai bukanlah satu fenomena biasa di sesebuah sekolah.

“Sebagai pengetua, sudah tentu akan melalui bermacam-macam dugaan. Namun saya melihat yang segala isu, masalah dan kesukaran dihadapi adalah cabaran yang perlu dilihat sebagai peluang untuk menerajui sekolah mencipta kejayaan.

“Dan saya meletakkan iltizam dan komitmen yang tinggi melalui pendekatan seronok melaksanakan amanah sebagai satu keutamaan,” ujarnya.

Beliau berkata, warga SUTAMA mempunyai kekuatan masing-masing yang perlu diserlahkan dengan bijaksana secara kritis dan inovatif.

Semua kekuatan ini sangat berpotensi untuk dibangunkan dalam menjadikan SUTAMA sebagai sebuah sekolah harian luar bandar yang cemerlang.

Kemenjadian pelajar dalam pelbagai bidang dengan acuan dan gaya tersendiri adalah ramuan kejayaan sekolah yang seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM).

“Harapan saya agar semua pelajar yang akan meninggalkan SUTAMA adalah pelajar yang mempunyai nilai tambah dan menjadi aset kepada negara,” jelasnya.

Menjadi keutamaan

Kebajikan guru, staf sokongan dan pelajar dalam pelbagai perkara menjadi keutamaan buat pengetua cemerlang ini.

Beliau menghulurkan kasih sayang kepada semua warga sekolah tanpa pilih kasih.

Seterusnya, pendekatan kepimpinan yang Cikgu Noor Hayati ini amalkan ketika mengurus sekolah seumpama menguruskan `business’ iaitu ada untung dan rugi.

“Pemimpin sekolah diumpamakan sebagai Pengarah Urusan yang menentukan hala tuju dan jatuh bangun sesebuah organisasi.

“Manakala dalam konteks sekolah pula, keuntungan itu dilihat dari aspek kejayaan, kecemerlangan dan kemenjadian pelajar.

"Seterusnya, kerugian pula dilihat apabila keciciran pelajar dari aspek kemenjadiannya telah dianggap sebagai normal di sesebuah sekolah. Berpegang kepada prinsip inilah maka saya melihat seorang pemimpin sekolah perlu berimpak tinggi di samping memainkan peranan yang signifikan sebagai peneraju, pembimbing dan pendorong kepada semua warga SUTAMA,” ujarnya bersemangat.

INFO

  • Cikgu Noor Hayati dilahirkan di Kemaman Terengganu dan merupakan graduan Sains Pembangunan dengan pengkhususan Perancangan Wilayah, Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1989.
  • Memulakan karier sebagai guru di SMK Bukit Tunggal, Kuala Terengganu pada 1992, Sekolah Menengah Teknik Likas dan Sekolah Menengah Teknik Tawau di Sabah pada 1996 sehingga 2005.
  • Dalam tempoh 10 tahun seterusnya, beliau berkhidmat di SMK Bandar Sri Damansara 1, Selangor dan sepanjang tempoh perkhidmatan, pelbagai tugas dan jawatan telah disandang iaitu sebagai Guru Kanan Bahasa sehinggalah ke jawatan Penolong Kanan Kokurikulum, Hal Ehwal Murid dan Akademik.
  • Kerjaya Cikgu Noor Hayati kemudiannya beralih sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Pendidikan dan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (pada ketika itu) bagi tempoh 2015 hingga 2018.

  • Seterusnya, graduan NPQEL Institut Aminuddin Baki pada 2016 dan melapor diri di SUTAMA sebagai pengetua bermula 14 Mei 2018 sehingga kini.
  • Dalam tempoh empat tahun menggalas tanggungjawab, pengetua hebat ini telah berjaya membawa SUTAMA meraih pelbagai kejayaan dan kemenjadian pelajar dari peringkat daerah, negeri, kebangsaan sehingga antarabangsa dalam bidang akademik, kokurikulum, sahsiah unggul pelajar, keberhasilan guru dan jaringan kerjasama dengan pihak luar.
  • Dalam masa sama, beliau turut menghasilkan artikel berkaitan pendidikan, budaya pembelajaran dan kepimpinan.
  • Selain berkongsi pengalaman di media cetak, guru ini juga berpeluang mencurahkan ilmu sebagai penceramah, panel dan fasilitator dalam Bidang Kepimpinan, perkongsian mengenai Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Perkongsian Amalan Terbaik dan Tadbir Urus Insan (Human Governance) di beberapa taklimat, bengkel, seminar dan dialog prestasi di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan secara bersemuka, webinar dan dalam talian.
  • Atas kecemerlangan yang diraih ini, pada 2019, beliau dinaikkan pangkat sebagai pengetua cemerlang dan anugerah terunggul yang pernah diterima adalah Tokoh Pendidik oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2017.
  • Pada Hari Anugerah Kualiti dan Inovasi PPD Kuala Selangor 2021, Cikgu Noor Hayati telah dianugerahkan Pengetua Terbaik PRIMe dan penerima Anugerah Khas Pendidikan Kepimpinan (Menengah) sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor 2021.

APA KATA MEREKA

1) “Seorang pemimpin yang sangat berhemah bila berbicara, tegas, mengambil tahu dan mengambil berat tentang kebajikan anak-anak buah. Beliau juga seorang yang empati dengan keadaan sekeliling termasuk anggota pelaksana dan juga anak-anak didik. Dalam masa sama, Cikgu Noor Hayati merupakan pemimpin yang sentiasa ‘follow up dan follow through’ dalam semua program sekolah dan mengamalkan dasar pintu terbuka iaitu menerima pandangan semua pihak bagi memastikan program mendapat kejayaan dan berimpak tinggi kepada pelajar.

- Penolong Kanan Kokurikulum, Cikgu Suzana Aris

2) “Seorang ketua yang sentiasa turun padang untuk sama-sama menghadapi masalah dan isu disiplin. Beliau juga seorang ibu atau kakak yang mampu memberi nasihat dan cadangan bila guru-guru menghadapi masalah peribadi. Paling penting sentiasa mendoakan sesuatu yang baik-baik untuk warga SUTAMA.

- Guru Ketua Disiplin Sesi Petang & Guru RBT, Cikgu Hamidah Mukhtar

3) "Pelajar-pelajar adalah ladang pahala kita"… kata-kata inilah yang menjadi inspirasi kepada kami, barisan guru untuk berkhidmat sehabis baik, tanpa dipaksa, seikhlasnya. Sesungguhnya Cikgu Noor Hayati adalah satu anugerah tidak ternilai buat warga SUTAMA.

- Guru Ketua Disiplin Sesi Pagi & Guru Matematik, Mohammad Mohd Zin

4) “Sebagai seorang peneraju sebuah institusi yang besar, kaliber beliau sangat terserlah dalam pelbagai aspek terutama dalam memastikan kemenjadian pelajar. Meletakkan pelajar sebagai 'pelanggan' terpenting dalam pengurusan harian.

- Guru Bahasa Inggeris, Cikgu Tanty Sharum

5) “Berkarisma, tegas, berwibawa. Mempunyai gaya tersendiri apabila mentadbir organisasi, ilmuan, berpandangan jauh untuk mencapai matlamat dan hala tuju. Seorang yang berfikiran positif, berkerja secara berkumpulan di samping mempunyai idea-idea yang bernas. Berkongsi pendapat dan ilmu dengan semua guru dan kakitangan agar organisasi yang dipimpin disegani dan menjadikan pelajar SUTAMA yang terulung dan cakna dari segi akedemik, ko-akedemik mahupun kokurikulum sehingga peringkat antarabangsa.

- Ketua Pembantu Tadbir, Zanariah Abu

6) “Pada pandangan saya, pengetua merupakan seorang yang sangat berkaliber kerana sentiasa menunjukkan usaha yang terbaik dalam memastikan SUTAMA memperoleh kejayaan cemerlang dalam pelbagai aspek. Beliau juga tunjang utama dan pendorong terbesar dalam memastikan warga sekolah memperoleh kejayaan yang diimpikan. Bak kata pepatah, serumpun bak serai, sesusun bak sirih.

- Pelajar, Zulazlin Elia

7) “Banyak membantu pelajar dan selalu menasihati kami. Walaupun tegas dalam kerja namun beliau seorang yang berhati lembut sama seperti ibu sendiri. Pengetua pernah berkata “jangan sesekali merasai putus asa dengan kegagalan yang kita hadapi. Kita masih ada masa untuk terus berusaha menjadi pelajar cemerlang SUTAMA.

- Pelajar, Nur Shafirah Norzelan

Artikel berkaitan 

Guru Geografi muncul Johan Qariah setelah 3 kali sertai pertandingan

Sertai misi kemanusiaan, majlis konvokesyen pelajar UiTM diraikan di Afghanistan

Komponen kemahiran dalam subjek Sejarah, ini yang pelajar akan dapat


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan