1,000 pek bubur lambuk 'drive-thru' di UPM
Bagi meraikan warga kampus khasnya pelajar yang baru sahaja pulang dan memulakan sesi pengajian semester kedua pada Ramadan ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif mengedarkan 1,000 pek bubur lambuk secara pandu lalu (drive-thru).
Program Rewang Bubur Lambuk yang diwakili Chapter Alumni YOSH UPM bersama Kelab Mahasiswa Fakulti Pengajian Pendidikan UPM itu bertujuan menyantuni warga kampus menerusi perkongsian juada berbuka puasa sambil merapatkan ukhuwah.
Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, antara aktiviti dijalankan termasuklah sesi penyediaan, pembungkusan seterusnya edaran bubur lambuk di pekarangan Fakulti Pengajian Pendidikan.
"Inisiatif ini bukan sekadar mengedarkan bubur lambuk tetapi turut memupuk semangat kebersamaan dan kekeluargaan dalam kalangan mahasiswa yang berbeza latar belakang.
"UPM beriltizam melahirkan watak graduan berdaya saing dalam mendepani cabaran mendatang sesuai dengan matlamat Pelan Strategik UPM 2021-2025.
"Program dan aktiviti pelajar seumpama ini juga dianjurkan dengan matlamat menjurus kepada pembinaan potensi graduan terutama dari aspek kesukarelawanan, kepimpinan dan komunikasi keorganisasian," katanya.
Program ini juga diserikan dengan kehadiran Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, Profesor Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar yang turut menyerahkan bubur lambuk secara drive-thru kepada warga UPM bersama-sama Ahmad Farhan.
Sementara itu, Pengarah Program Ihya' Ramadan, Nur Shafiqah Marjan turut berkongsi kegembiraannya dan menzahirkan syukur dengan kejayaan rewang dan edaran 1,000 pek bubur lambuk kepada warga kampus UPM.
"Inisiatif murni ini turut melibatkan penyertaan Chapter Alumni YOSH UPM, sukarelawan mahasiswa daripada pelbagai fakulti dan komuniti sekitar bagi menjayakan program.
"Aktiviti rewang bubur lambuk yang diadakan dengan keterlibatan mahasiswa, warga kampus dan alumni ini, dapat mengimarahkan bulan mulia di samping menjadi platform berkesan untuk membangun kemahiran insaniah mahasiswa," katanya.
Untuk rekod, rewang bbur lambuk di Fakulti Pengajian Pendidikan itu disertai lebih 60 orang sukarelawan mahasiswa daripada pelbagai latar bidang pengajian seperti perubatan, sains komputer, pembangunan manusia, pengajian makanan dan pengajian kaunseling.