UMS-Adabi agih 3,500 pek bubur lambuk
Pusat Minda Lestari (PML), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengagihkan sebanyak 3,500 juadah berbuka bubur lambuk kepada penuntut, kakitangan dan orang awam dalam program ‘Bah, Sungkai Kita Bubur Lambuk 3.0!’, pada Isnin.
Menurut Pengarah PML, Dr Suwaibah Zakaria, program tajaan Adabi Sabah Distribution Sdn Bhd (Adabi) tersebut antara lain bertujuan mengeratkan hubungan dan memupuk semangat kerjasama antara warga PML dan kakitangan UMS serta agensi luar.
“Program ini juga salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat kami di samping meraih keberkatan dan fadhilat dalam bulan Ramadan Al-Mubarak.
“Antara aktiviti yang dijalankan adalah penyediaan bahan masakan, memasak, membungkus dan pengagihan bubur lambuk kepada semua warga UMS serta orang awam.
“Diharapkan pelaksanaan program ini dapat memberi manfaat kepada semua warga universiti dan agensi terlibat dalam menyemarakkan budaya bersedekah di bulan Ramadan,” katanya.
Program anjuran kali ketiga sejak 2022 itu disempurnakan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor di pintu utama UMS.
Ia mendapat kerjasama daripada Pusat Persediaan Sains dan Teknologi, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Fakulti Pengajian Islam, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita UMS serta Kesatuan Kakitangan Am UMS.
Turut serta dalam agihan tersebut Ketua Pustakawan, Md Sazali Md Salleh; Pengurus Adabi Sabah, Muhammad Zahari Muhammad Nasir; Penolong Naib Canselor (Strategik), Profesor Dr Mohammad Saffree Jeffree dan ketua-ketua jabatan UMS.