14 penuntut UMS ke Australia, pupuk sifat kepimpinan dan kualiti diri
Seramai 14 mahasiswa Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai program Hubungan Sosial dan Peningkatan Ilmu Antarabangsa (IRP) di Melbourne, Australia baru-baru ini.
Program anjuran Kelab Psikologi Kanak-Kanak dan Keluarga (CFC) UMS itu bertujuan memberi pendedahan kepada penuntut mengenai budaya dan cara hidup masyarakat di luar negara.
Selain itu ia turut mendedahkan peserta dengan ilmu Psikologi Kanak-Kanak dan Keluarga dengan membuat lawatan ke pusat-pusat dan universiti terpilih.
Menurut Ketua Program CFC UMS, Dr Nur Farhana Ardillah Aftar, CFC ditubuhkan pada 2009 dengan memberi tumpuan kepada program sosial, akademik, kepimpinan, latihan kendiri, operasi khidmat masyarakat, motivasi, akademik dan kerjaya ahlinya.
“Setiap tahun CFC akan mengembara ke luar negara untuk meneroka dan meraih ilmu baharu di samping menimba pengalaman berharga yang tidak diperoleh melalui pembelajaran di dalam dewan kuliah.
“Tahun ini, CFC memilih Australia untuk dilawati kerana kemajuan dan ketamadunan negara tersebut.
“Antara tempat yang dilawati ialah Universiti of Melbourne; Victorian Deaf Society; La Trobe University Community Centre; La Trobe University; Victorian College for the Deaf dan Autism Partnership Melbourne,” ujarnya.
Sementara itu, Dekan FPP UMS, Profesor Dr Murnizam Halik berkata, pihaknya percaya penganjuran program itu dapat memberi pemahaman dan pengalaman kepada penuntut tentang cabaran dalam penganjuran sesuatu program.
Katanya, matlamat utama program adalah melengkapkan mahasiswa dengan pengetahuan dan pengalaman yang diperlukan bagi mengemudi medan yang kompleks dan mencabar di kemudian hari.
“Program IRP bukan sahaja meluaskan pengetahuan para penuntut tentang dunia luar tetapi juga telah memupuk dan menjana kualiti serta nilai dalam diri mereka ke arah lebih idealisme, proaktif dan kreatif menerusi penerokaan dan pemerhatian di tempat yang dilawati.
“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua individu yang telah bertungkus lumus menjayakan program berkenaan.
“Tanpa kerja keras anda mana mungkin program IRP dapat dilaksanakan sebaik ini,” ujarnya.