Sijil yang diterima oleh Nurosimah dan Brenda.
Sijil yang diterima oleh Nurosimah dan Brenda.

2 pelajar bekeperluan khas Kolej Vokasional Keningau raih juara Festival Seni Antarabangsa

AZLEENDA SAHALUDIN
28 Mar 2023 04:21pm
A
A
A

Tidak semua yang bergelar pelajar di negara ini mampu menerima dan menguasai pembelajaran seperti diharapkan dan dirancang oleh pihak sekolah.

Ini kerana terdapat sesetengah dalam kalangan mereka berdepan dengan masalah terutamanya ketika proses pembelajaran.

Sebagai pelajar yang tidak sempurna adalah tidak wajar untuk terus diketepikan dan dipinggirkan kerana mereka juga layak diberi peluang mengembangkan bakat masing-masing.

Ini adalah untuk memberi pendedahan kepada mereka sekali gus meningkatkan kebolehan sedia ada dalam diri sebagai persiapan untuk masa depan.

Bagi Kolej Vokasional Keningau, Sabah, mereka tidak pernah mengenepikan pelajar yang kurang berkemampuan dan ini terbukti apabila dua pelajar berkeperluan khasnya berjaya meraih tempat pertama dalam Festival Seni Antarabangsa.

Festival tersebut yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini telah berlangsung di Australia.

Pertandingan anjuran Monolit Festival itu telah memberi pengiktirafan tersebut kepada video persembahan dua pelajar ini yang bertajuk ‘John & Ibu Sihi’ bagi Kategori Dewasa – Penceritaan Berilustrasi.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Christine Stanislaus Kinsik berkata, kedua pelajar iaitu Nurosimah Jumat dan Brenda Ashley masing-masing berusia 18 tahun merupakan pelajar jurusan pembuatan pakaian dan baru sahaja menduduki peperiksaan hujung tahun.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, karya yang dimenangi kedua-dua pelajar berkenaan adalah dengan menggunakan kad cerita rawak sebagai asas penulisan karya asli mereka dengan menyerapkan unsur fantasi dan dongeng melalui watak ahli sihir.

“Mereka telah berjaya menulis dan menyampaikan cerita tersebut dalam Bahasa Melayu yang disertakan dengan sari kata dalam Bahasa Inggeris.

“Ia menceritakan seorang lelaki bernama John yang terkejut melihat seorang ahli sihir bersama adiknya di rumah mereka apabila dia balik dari tempat kerjanya.

“Walaupun ahli sihir itu berkelakuan baik dan memberi mereka penyapu ajaib namun dia kekal curiga dengan niat sebenar ahli sihir tersebut,” ujarnya.

Christine turut memuji usaha pelajar-pelajarnya yang cekal mengasah bakat mereka dan wajar dijadikan amalan untuk membuka lebih banyak peluang kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas.

Nurosimah merupakan pelajar cacat penglihatan manakala Brenda merupakan pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran (kurang upaya intelektual).

Sementara itu, Nurosimah memberitahu, sebagai persiapan mereka berlatih selama seminggu sebelum pertandingan berlangsung.

Sijil yang diterima oleh Nurosimah dan Brenda.
Sijil yang diterima oleh Nurosimah dan Brenda.

“Saya gembira kerana berjaya mengatasi perasaan takut dan gemuruh ketika pertandingan malah turut terharu apabila berjaya mengharumkan nama kolej.

“Pencapaian ini juga akan saya jadikan sebagai dorongan untuk terus melakukan yang terbaik dalam pertandingan lain akan datang,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok