Para peserta yang mengikuti Konvensyen Kebangsaan Asuhan dan Didikan Kanak-kanak TASKA 2023 baru-baru ini.
Para peserta yang mengikuti Konvensyen Kebangsaan Asuhan dan Didikan Kanak-kanak TASKA 2023 baru-baru ini.

200 peserta sertai Konvensyen Kebangsaan Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak TASKA 2023

DR JUPPRI BACOTANG & SATURIA AMIRUDDIN
27 Jun 2023 05:50pm
A
A
A

Seramai 200 pengamal Pendidikan Awal Kanak-Kanak seluruh negara menyertai Konvensyen Kebangsaan Asuhan dan Didikan Kanak-kanak TASKA 2023 pada 17 hingga 18 Jun di Hyatt Regency Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah.

Konvensyen anjuran Persatuan Perkhidmatan TASKA Sabah (PPTS) dengan kerjasama Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu merupakan program julung kali diadakan di negara ini yang memfokuskan asuhan dan didikan kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska).

No Image Caption

Bertemakan ‘Kesihatan dan Kesejahteraan Untuk Setiap Kanak-Kanak’, konvensyen tersebut bertujuan mencungkil dan memupuk semangat cintakan ilmu serta berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik yang memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Konvensyen Kebangsaan Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak TASKA 2023 yang melibatkan kolaboratif antara ahli akademik, penyelidik, pengusaha, pendidik, pengasuh dan pengamal dari pelbagai institusi mampu dijadikan medan pengetahuan, pengalaman dan hasil penyelidikan yang terkini berkaitan asuhan dan didikan kanak-kanak di taska.

Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang konvensyen berlangsung antaranya ucaptama, ceramah, pameran, sesi plenari dan forum.

No Image Caption

Bagi sesi plenari, pembentang membincangkan topik keselamatan dan kesihatan serta kesejahteraan dan kebajikan.

Artikel Berkaitan:

Topik tersebut menjelaskan pendekatan baharu dalam asuhan dan didikan awal kanak-kanak yang menjurus kepada kualiti komprehensif serta amalan terbaik untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak yang holistik.

Sementara itu, Dekan FPP, UMS, Profesor Dr Murnizam Halik berkata, konvensyen tersebut menjadi platform bermakna kepada pengusaha, penyelia, pendidik dan pengasuh taska mahupun Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dalam menimba ilmu serta mengembangkan kemahiran berkaitan asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

Ujarnya lagi, konvensyen turut memberi ruang dan peluang kepada para peserta untuk menimba pengetahuan terkini dalam bidang asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

Tambah beliau, konvensyen itu medan yang membolehkan peserta berinteraksi, saling bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman berkaitan asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

No Image Caption

“Melalui diskusi dan perbincangan, ia dapat mewujudkan idea-idea baharu, pemikiran inovatif dan kreatif serta perspektif baharu dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“Ini akan membantu untuk mempersiapkan diri dan mengadaptasi pendekatan yang sesuai untuk memenuhi keperluan masa kini dan masa depan mereka,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib berkata, program berkaitan dengan asuhan dan didikan di taska perlu diberi perhatian dan sokongan sejak awal termasuklah kepada kanak-kanak berkeperluan khas terutamanya autisme.

“Kanak-kanak merupakan aset negara yang perlu digilap, dipupuk, diasuh dan dididik agar potensi dan bakat mereka dapat dikembangkan dengan menyeluruh.

No Image Caption

“Pembentukan bakat dan potensi mereka sejak awal usia akan memberi impak besar apabila menjadi dewasa kelak,” katanya ketika merasmikan konvensyen berkenaan.

Menerusi konvensyen ini, James berkata, ia secara tidak langsung mewujudkan kesedaran tentang kepentingan serta keperluan asuhan dan didikan kanak-kanak taska yang selama ini kurang mendapat tumpuan.

“Semoga penganjuran konvensyen ini dapat memberi kebaikan dan ilmu bermanfaat kepada semua pihak terlibat seterusnya memartabatkan lagi kualiti Pendidikan Awal Kanak-Kanak khususnya kepada kanak-kanak taska di Malaysia,” ujarnya yang juga Presiden, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS).

No Image Caption

Maklumat Penulis

1) Ketua Program/Pensyarah Kanan, Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah, Dr Juppri Bacotang.

2) Pensyarah, Program Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah, Saturia Amiruddin.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok