Md Amin (dua dari kiri) bersama Karomidin (dua dari kanan) menyampaikan sijil tamat latihan kepada seorang peserta program.
Md Amin (dua dari kiri) bersama Karomidin (dua dari kanan) menyampaikan sijil tamat latihan kepada seorang peserta program.

22 pendidik dari Uzbekistan 'berguru' di UPSI

NORMAWATI ADNANNORMAWATI ADNAN
01 Jun 2025 12:09am

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh peranan sebagai peneraju pendidikan bertaraf global apabila menganjurkan program latihan profesional intensif kepada 22 pendidik dari Uzbekistan.

Program selama dua minggu bermula 15 Mei itu merupakan inisiatif UPSI dalam memperkasa jaringan pendidikan antarabangsa sekali gus memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Uzbekistan dalam bidang pendidikan tinggi.

Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Karomidin Gadoev berkata, penghargaan wajar diberikan atas komitmen UPSI dalam menganjurkan program yang memberi impak besar kepada pembangunan kapasiti pendidik dari negaranya.

"Saya yakin ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang program ini dapat diaplikasikan secara langsung di institusi masing-masing.

Karomidin Gadoev
Karomidin Gadoev

"Langkah ini juga meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pengurusan akademik yang lebih sistematik," katanya ketika berucap menyempurnakan majlis penutupan program berkenaan.

Menurut beliau, latihan profesional itu memberi fokus kepada peningkatan kompetensi pedagogi menerusi pendekatan pengajaran inovatif, strategi penilaian berkesan serta penggunaan teknologi digital dalam bilik darjah yang selari dengan keperluan pendidikan global semasa.

"Semoga hubungan dua hala ini dapat terus diperkukuh menerusi program akademik bersama, penyelidikan kolaboratif dan pertukaran tenaga pengajar serta pelajar pada masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kejayaan menganjurkan latihan tersebut adalah hasil perbincangan strategik sempena Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan yang berlangsung pada 4 Februari lalu.

Md Amin
Md Amin

Katanya, dalam forum tersebut, UPSI telah diberi kepercayaan untuk menerajui latihan kepakaran dalam bidang pendidikan.

"Program ini selari dengan aspirasi UPSI untuk menjadi pusat rujukan antarabangsa dalam bidang latihan dan pembangunan profesional warga pendidik dari luar negara," katanya.

Wakil peserta, Dr Sulaymanova Nilufar Jabbarovna dari Samarkand State Institute of Foreign Languages berkata, mereka didedahkan dengan pelbagai pendekatan terkini dalam pendidikan termasuk pelaksanaan Pendidikan Berorientasikan Hasil (OBE).

No Image Caption

"Latihan juga menyentuh mengenai penggunaan teknologi digital dalam PdP serta kemahiran komunikasi yang relevan untuk konteks pengajaran global," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp