25 mahasiswa UTeM ditauliahkan Leftenan Muda Pertahanan Awam
Seramai 25 mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya menerima pentauliahan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam (PA) di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) baru-baru ini.
Pentauliahan yang berlangsung pada Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali ke-13 (tahun 2022) telah dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
Hadir sama pada Majlis Pentauliahan Kor SISPA adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) merangkap Komandan Kor SISPA UTeM dan Penolong Persuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim serta Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim.
Menurut Zulkifilie, Kor SISPA merupakan salah satu cabang platform pilihan yang tepat buat mahasiswa dalam menjana nilai tambah di samping penguasaan bidang akademik.
Katanya, mereka dilatih dengan penglibatan dalam pelbagai aktiviti termasuklah kesukarelawanan melalui program berbentuk khidmat komuniti, kemasyarakatan, badan beruniform dan sebagainya.
“Sebagai contoh, pihak UTeM telah menggerakkan penglibatan Kor SISPA dalam berbagai aktiviti seperti penugasan di bilik gerakan, Pusat Pemberian Vaksin (PPV), melancarkan proses kemasukan semula pelajar baharu UTeM dan sebagainya,” ujar Zulkifilie dengan menambah UTeM berjaya melahirkan seramai 72 Leftenan Muda (PA) sejak penubuhan Kor SISPA pada tahun 2016.
Sementara itu, Kamarulsyah berkata, keterlibatan mahasiswa dalam Kor SISPA menerusi organisasi APM dapat melahirkan modal insan yang terlatih dan berdisiplin.
“Saya turut berbangga dengan pencapaian yang telah dipamerkan mereka sepanjang 2022.
“Antaranya mendapat tempat ke-2 dan ke-3 dalam seminar ‘1st International Civil Defense Undergraduate Cadet Corps Conference 2022’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan tempat ke 3 dalam Civil Defense Challenge.
“Saya juga melahirkan rasa gembira dan amat berpuas hati dengan kerjasama hebat antara UTeM dan APM Negeri dalam menjayakan pelbagai program secara bersama,” ujar beliau.
Dalam pada itu, graduan Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Muhamad Yusof Heiry Yanto Masrupi telah dianugerahkan Pegawai Kadet Kor SISPA Terbaik UTeM 2022.
Menurut Muhamamd Yusof, sepanjang menyertai Kor SISPA, banyak ilmu dan pengalaman di perolehi di samping pembentukan disiplin yang tinggi dan sikap menepati masa.
“Melalui medan Kor SISPA, saya dapat mengasah kemahiran insaniah dan pengetahuan melalui beberapa kursus yang dijalankan seperti Kursus Asas, First Responder Life Support, Metodologi, Bakal Pegawai dan Pengurusan Pusat Pemindahan.
“Kesemua kursus telah memberi nilai tambah kepada saya agar terus menzahirkan semangat kerja dalam pasukan, memupuk nilai jati diri yang tinggi dan cintakan tanahair,” ujarnya yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden Kor SISPA UTeM dan pernah menjadi sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC).